Home Hiburan PILIH PELAKON POPULAR, ENGGAN FILEM DILABEL BAJET RENDAH

PILIH PELAKON POPULAR, ENGGAN FILEM DILABEL BAJET RENDAH

174
0

KUALA LUMPUR: Trend penonton berubah-ubah menyebabkan pengarah filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, tidak berani mengambil risiko mempertaruhkan pelakon tidak dikenali dalam filem terbaharu berjudul Reeza GTR.

Ahmad Idham berkata, pemilihan pelakon sensasi, Sophia Albarakbah atas populariti dan pencapaiannya meraih trofi Aktres Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-35, tahun lalu.

“Saya selesa bekerja dengan Sophia kerana sebelum ini, pernah terbabit dalam filem Saka Perawan.

“Selain itu, saya memilih pelakon yang ada tangga kejayaan kerana mahukan yang terbaik untuk filem arahan.

“Sophia adalah pemenang ABPBH, tahun lalu, manakala Alif Satar pula memang ada trek rekod baik dalam industri.

“Nama pelakon memainkan peranan penting kerana trend penonton sekarang berbeza,” katanya yang ditemui BH Online pada majlis tayangan filem Reeza GTR di ibu negara, baru-baru ini.

Ahmad Idham berkata, dia bimbang filemnya dilabel berbajet rendah sekiranya mempertaruhkan bakat baharu yang masih belum dikenali.

“Dulu, sayalah yang memperkenalkan Yana Samsudin, Shaheizy Sam, Pierre Andre dan Farid Kamil.

“Walaupun mereka masih baharu, tetapi filem mereka berjaya mencatat kutipan pecah panggung kerana penonton dulu lebih menilai kepada bakat lakonan.

“Tapi, sekarang trend berbeza, kena ada nama besar barulah dapat menarik penonton ke pawagam.

“Jika tidak, filem akan dilabel bajet rendah jika tiada nama besar,” katanya lagi.

Menjelaskan judul filem, Reeza GTR yang seolah-olah menggambarkan filem berunsurkan permotoran, Ahmad Idham berkata, pemilihan judul bukanlah satu masalah besar.

Katanya, filem Polis Evo juga tidak berkaitan dengan jenis kenderaan, sebaliknya apa yang penting, jalan cerita.

“Judul filem ini bermain dalam fikiran sudah lama. Saya pilih meletakkan perkataan GTR supaya penonton dapat merasai sukan permotoran walaupun filem ini bergenre romantik komedi.

“Saya pilih Alif sebab pernah berlakon dalam drama Dia Semanis Honey dan penonton sukakan sisi romantis Alif menerusi drama ini.

“Jadi, saya kembangkan sisi romantis Alif dalam watak yang belum pernah dibawa dalam filem. Saya pasti peminat menyukainya,” katanya.

Reeza GTR menjalani penggambaran di empat negeri iaitu Melaka, Pahang, Negeri Sembilan dan Lembah Klang bakal menemui penonton di pawagam pada 17 Oktober ini.

Filem terbitan Grand Brilliance Studio Sdn Bhd dengan kerjasama Primeworks Studios mengisahkan Reeza (Alif Satar) yang bekerja di bengkel stor lelongan kereta tarik terkejut menemui gadis cantik, Myra (Sophia) yang menyorok di dalamnya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here