Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Mewarna rambut sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita sejak zaman berzaman mala ada ibu bapa yang mewarna rambut anak mereka di usia yang masih kecil.
Menurut portal myhealth pewarna rambut dikenali juga sebagai cat rambut yang digunakan untuk menukar warna rambut.
Kebiasaannya, ia digunakan bertujuan untuk menutupi rambut beruban, memberi warna yang diingini pada rambut untuk tujuan fesyen atau mengembalikan/mengubah warna asal rambut. Sumber warna boleh diperolehi daripada alam semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan atau warna sintetik.
Pewarna rambut terbahagi kepada 3 jenis iaitu:
- Pewarna rambut sementara
Pewarna rambut sementara hanya bertindak seketika dengan cara menyaluti helaian rambut (coating). Ia tidak merubah warna asli rambut dan pewarna tersebut akan hilang dengan bilasan/basuhan.
- Pewarna rambut separa kekal
Pewarna jenis ini memiliki daya lekat yang tidak terlalu lama dan akan bertahan dalam jangka masa yang pendek kebiasaanya selama beberapa minggu. Rambut yang disaluti pewarna jenis ini akan pudar dengan setiap bilasan/basuhan.
- Pewarna rambut kekal
Pewarna rambut kekal memiliki daya lekat yang jauh lebih lama dan warna akan kekal sehingga rambut baru tumbuh, rambut dipotong atau dilunturkan.
Namun, tahukah anda mewarna rambut akan memberi kesan alergi kepada seseorang?
Pewarna rambut mempunyai potensi untuk memberikan kesan alergi kepada penggunanya.
Oleh yang demikian, pengunaan pewarna rambut perlu dilakukan secara berhati-hati dan langkah-langkah keselamatan perlu diambil untuk memastikan penggunaannya tidak mendatangkan mudarat.
Antara bahan di dalam pewarna rambut yang boleh menyebabkan kesan alergi adalah para-phenylenediamine (PPD). Simptom-simptom alergi disebabkan oleh bahan ini adalah seperti dermatitis di kawasan kelopak mata, telinga, kulit kepala, leher dan muka. Ia juga boleh menyebabkan kesan yang serius kepada seluruh tubuh badan seperti kulit menjadi gatal dan membengkak.
Kesan alergi adalah berbeza di antara seorang individu dengan individu yang lain. Ia bergantung kepada sensitiviti individu tersebut. Kejadian alergi boleh dielak atau dikurangkan dengan:
- Memastikan produk kosmetik yang hendak digunakan telah bernotifikasi dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA)), Kementerian Kesihatan Malaysia. Status produk kosmetik boleh disemak melalui laman sesawang rasmi NPRA di pautan www.npra.moh.gov.my
- Semak senarai bahan-bahan yang terkandung di dalam produk terlebih dahulu untuk mengenalpasti dan mengelakkan daripada menggunakan bahan-bahan yang boleh menyebabkan kesan alergi berdasarkan pengalaman penggunaan produk seumpamanya sebelum ini.
- Melakukan ujian sensitiviti kulit (patch test) terlebih dahulu iaitu dengan meletakkan sedikit produk yang hendak digunakan di bahagian belakang pergelangan tangan (inner wrist) atau bahagian siku selama 24 jam untuk melihat sekiranya ada reaksi alergi.
- Baca dan ikut arahan tatacara penggunaan produk yang telah ditetapkan pada produk.
- Menggunakan produk dengan berhati-hati apabila digunakan pada kawasan berhampiran mata.
- Elakkan dari mewarnakan bulu kening dan bulu mata.
- Elakkan dari mewarnakan rambut kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.
- Elakkan dari menggunakan pewarna rambut jika mengalami ruam pada muka atau pada individu yang mempunyai masalah kulit kepala dan kulit kepala sensitif.
- Berhenti menggunakan produk tersebut untuk seketika pada kawasan yang terlibat.
Anda dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat perubatan atau rawatan daripada doktor sekiranya simptom berterusan walaupun penggunaan telah diberhentikan.
Imedikel TV






