Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyambut baik pengumuman yang mampu memberi manfaat kepada rakyat, termasuk pengumuman terbaharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan sebarang inisiatif yang dapat membantu meringankan beban rakyat, khususnya dalam situasi ekonomi yang mencabar.
“Kita menyambut baik apa sahaja yang boleh membantu rakyat, jadi apabila ada sesuatu mustahak yang ingin diumumkan oleh Perdana Menteri, kita memang mengharapkan sesuatu yang besar.
“Cuma oleh kerana kita baru sahaja selesai sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), saya ingin melihat dahulu butiran pengumuman tersebut.
“Tetapi secara umum dan dasar, kita menyambut baik apa sahaja yang boleh membantu rakyat yang berhadapan dengan kesempitan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau turut memberitahu bahawa kerajaan negeri akan meneliti pelaksanaan inisiatif tersebut.
“Nanti kita akan tengok pelaksanaan dia macam mana,” katanya.
Media hari ini melaporkan pengumuman Anwar berkaitan penghargaan buat semua rakyat Malaysia.
Antaranya ialah bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos 2025, setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama.
IMedikel TV






