PETALING JAYA: Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman bersyukur Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi antara pembeli tas tangan keluaran syarikatnya.
Memetik laporan menerusi Berita Harian, Aliff, 38, bagaimanapun menyifatkan pembelian Siti mungkin didorong dasar ihsan dan simpati terhadapnya yang selama ini bertungkus-lumus mengendalikan sesi siaran langsung TikTok untuk menjual produk.
“Siti antara individu yang membeli tas tangan saya. Tetapi, saya jujur, mungkin sebab dia kasihan dengan saya dan anak-anak. Tas tangan ada banyak, jadi, apabila Siti beli, saya bersyukur sebagai tanda sokongan beliau.
“Mungkin apabila Siti nampak kami jual secara dalam talian sambil menjerit-jerit dan menangis. Siti kerap masuk dalam ‘live’ jualan kami,” katanya pada sesi minum petang bersama media di kediamannya di Kota Damansara di sini, semalam.
Aliff berkata, Siti meninggalkan komen sebagai tanda sudah membuat pembelian tas tangan ketika dia dan anak sulung, Ammar Ahyan, mengendalikan siaran langsung jualan di TikTok, Ahad lalu.
Aliff yang membangunkan empayar perniagaan kosmetik dan produk kesihatan, D’Herbs terharu penyanyi nombor satu negara itu menyokong produk keluaran usahawan Bumiputera.
“Alhamdulillah, Siti sokong jualan tas tangan saya ini. Orang macam dia pun sokong saya. Itu yang membuatkan saya terkejut. Ini suatu penghormatan kerana kita tahu, Siti ada duit dan boleh beli tas tangan lebih mahal.
“Saya gembira apabila didapati dalam sistem, ada beberapa tas tangan yang Siti beli,” katanya.
Sementara itu, Aliff mahu diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBR) di bawah kategori kutipan jualan tas tangan RM1 juta terpantas secara ‘live’ pada 3 Ogos depan, mulai jam 8 malam di platform TikTok, @papalarisofficial.
Aliff berkata, dia akan memperkenalkan koleksi tas tangan, Samma Bag Denim Edition pada malam itu, demi merealisasikan sasaran jualan RM1 juta.
“Saya bernazar jika dapat mencipta rekod itu, saya akan agihkan sebahagian hasil jualan ke rumah anak yatim terpilih untuk berkongsi rezeki,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






