Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Permohonan geran menerusi inisiatif SejaTi MADANI di Kelantan meningkat kepada 1,135 setakat semalam berbanding 1,065 tahun lalu.
Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Jasri Kasim berkata, sebanyak 668 projek telah diluluskan dan sedang dilaksanakan sekali gus membuktikan rakyat negeri ini memanfaatkan peluang bagi memperkasa ekonomi setempat.
“Jumlah itu meningkat berbanding hanya 523 projek yang diluluskan pada tahun lalu.
“Terdapat lima sektor utama yang menjadi tumpuan permohonan, namun sektor pertanian dan makanan mencatat jumlah tertinggi sebagai pilihan utama sumber pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sektor lain ialah jahitan, kraf tangan, herba kesihatan, pelancongan, hospitaliti dan aktiviti hijau dan kitar semula.
Ujarnya, komuniti yang terlibat ialah di daerah Tumpat, Kubang Kerian, Bachok dan Pasir Puteh.
“Pelaksanaan projek ini membuka peluang kepada komuniti akar umbi untuk merancang dan melaksanakan projek selain boleh jana pendapatan.
“Sokongan geran hingga RM100,000 ini bukan sahaja menyemarakkan semangat keusahawanan, malah boleh mencungkil kelebihan dalam kalangan komuniti dengan lebih berkesan,” katanya.
Tambahnya, projek lebah kelulut, penanaman jagung, sayuran dan tembikai tanpa biji di beberapa daerah turut menunjukkan pencapaian memberangsangkan.
“Program inisiatif SejaTi MADANI dijangka terus menjadi platform penting memperkasa ekonomi rakyat Kelantan,” katanya.
IMedikel TV






