Home Buletin Semasa KERAJAAN BUAT PENSTRUKTURAN SEMULA TELUR AYAM BERMULA 1 OGOS

KERAJAAN BUAT PENSTRUKTURAN SEMULA TELUR AYAM BERMULA 1 OGOS

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI membuat penstrukturan semula telur ayam bermula 1 Ogos depan sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa yang lebih lestari dan berimpak tinggi.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan, pihak industri akan memperkenalkan Telur Gred Khas dengan harga yang berpatutan.

“Ini adalah usaha daripada kerajaan untuk mengoptimumkan perbelanjaan subsidi dan penjimatan akan disalurkan kepada program kesejahteraan rakyat.

“Keputusan ini juga dibuat setelah mengambil kira keyakinan terhadap keupayaan pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, orang ramai juga boleh membeli telur menerusi program Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah termasuk di premis jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Untuk rekod sepanjang Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan membelanjakan hampir RM2.5 bilion bagi menampung subsidi telur untuk membantu rakyat dan industri semasa krisis pandemik dan gangguan rantaian bekalan global.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui pemantauan rapi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Sebarang pertanyaan atau maklumat berkenaan isu bekalan atau harga telur ayam boleh disalurkan ke e-mel rasmi KPKM di pro@kpkm.gov.my atau menerusi hotline KPKM di talian 03-8000 8000.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here