Home Buletin Semasa JKDM KELANTAN KESAN TAKTIK SOROK DADAH DALAM PLASTIK COKLAT

JKDM KELANTAN KESAN TAKTIK SOROK DADAH DALAM PLASTIK COKLAT

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Taktik licik sindiket dadah menyembunyikan bahan terlarang dalam bungkusan coklat bagi mengaburi pihak berkuasa terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas dadah bernilai lebih RM200,000 di sebuah premis kurier di Pengkalan Chepa, 15 Julai lalu.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan kira-kira jam 4 petang itu dijalankan Pasukan Operasi Cawangan Pengkalan Kubor, selepas mengesan bungkusan mencurigakan di premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan ke atas 14 kotak pelbagai saiz yang dibalut dalam plastik coklat mendapati mengandungi lima jenis dadah.

“Rampasan melibatkan 26.05 kilogram ketulan mampat ganja bernilai RM85,981.50, bunga ganja seberat 1.10 kilogram (RM110,000), 10 biji pil kuda (RM100), ketamine 0.11 kilogram (RM5,500) dan MDMA HCI seberat 0.004 kilogram (RM200), menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM201,781.50,” katanya ketika sidang media di Wisma Kastam, di sini hari ini.

Beliau berkata, sindiket dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier untuk penghantaran ke pelbagai negeri.

“Alamat pengirim adalah di Kota Bharu, manakala bungkusan disasarkan ke beberapa negeri iaitu tiga bungkusan ke Pulau Pinang dan Selangor, satu ke Kedah dan Perlis, masing-masing dua ke Pahang, Kuala Lumpur dan Johor.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati alamat penerima adalah tidak tepat. Kita sedang mengesan pihak terbabit,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here