BATU KAWAN: Memasuki hari ke-13 bergelar Ketua Jurulatih Imigresen FC (IFC), Yusri Che Lah mahu terus fokus mempersiapkan pasukan meskipun mengakui tempoh masa suntuk menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi menjelang sepak mula saingan Liga Super musim 2025/2026, 9 Ogos ini.
Memetik laporan menerusi Berita Harian bekas pengendali Perak FC itu bersyukur diberi kepercayaan mengemudi skuad The Mighty Tigers yang baru dikumpulkan pada 18 Julai lalu dengan pihaknya masih menanti kemasukan beberapa lagi pemain import untuk memperkukuhkan pasukan terutama pada bahagian jentera serangan.
“Kalau tengok kita ada lagi baki kurang 10 hari sebelum perlawanan pertama, jadi agak merisaukan juga daripada segi persiapan. Buat masa ini dalam senarai kita ada enam pemain import. Seorang baru berlatih dengan kita dua hari manakala yang lain dijangka akan tiba sama ada malam ini atau esok.
“Terima kasih kepada majikan saya, Imigresen FC kerana memberi kepercayaan penuh mengendalikan pasukan dalam senario yang semua sedia maklum bahawa bukan mudah membentuk satu pasukan baharu untuk berada dalam Liga Super.
“Kita rasa sebagai pasukan terakhir memulakan latihan sudah pasti pemain tempatan di luar sana sudah ada pasukan sendiri jadi kita terpaksa memasukkan pemain import bagi menguatkan barisan pasukan di posisi yang saya rasa amat krikital,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang Penang FC di sini, semalam.
Yusri turut berharap anak buahnya dapat meningkatkan kecergasan dengan pantas apatah lagi mereka bakal bertembung dengan pasukan yang berada dalam kelompok tiga teratas iaitu Kuala Lumpur City FC dan Johor Darul Ta’zim FC pada perlawanan pertama dan kedua mereka, awal bulan depan.
Meskipun begitu, beliau tetap optimis serta yakin dengan potensi pasukannya yang disifatkan memiliki pengalaman dan teknik yang baik untuk bersaing dalam Liga Super dengan komposisi pemain secara purata berusia 27 tahun.
“Kalau dilihat umur 27 tahun walaupun bukan pasukan yang sudah terlalu matang dalam liga tapi bagi saya komitmen yang ditunjukkan bagus dan saya harap berterusan untuk kita bersaing menempatkan pasukan supaya tidak berada di kelompok bawahan,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






