Home Segmen Kesihatan KENCING BERDARAH BUKAN PERKARA BIASA, MUNGKIN TANDA AWAL KANSER SALURAN KENCING

KENCING BERDARAH BUKAN PERKARA BIASA, MUNGKIN TANDA AWAL KANSER SALURAN KENCING

261
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Pernah tak anda mengalami perubahan warna air kencing? Ramai dalam kalangan masyarakat memandang enteng masalah tersebut.

Usah memandang ringan jika terdapat perubahan warna air kencing, terutama jika terdapat darah, kerana ia boleh menjadi tanda awal kanser saluran kencing dan buah pinggang.

Perkongsian Public Health Malaysia (PHM) menerusi Facebook menegaskan bahawa ramai pesakit kanser buah pinggang dan kanser pundi kencing bermula dengan simptom sama iaitu kencing berdarah, walaupun tanpa rasa sakit atau pedih.

“Tak sakit. Tak pedih. Tak rasa apa-apa pun. Inilah sebab ramai pesakit datang lewat, sebab mereka tak rasa sakit langsung,” kata PHM.

Menurut PHM, terdapat perbezaan penting yang perlu diberi perhatian:

1. Kencing berdarah disertai sakit atau pedih biasanya berkaitan:
• jangkitan kencing
• batu karang

2. Kencing berdarah tanpa rasa sakit lebih mencurigakan ke arah:
• kanser pundi kencing
• kanser buah pinggang
• tumor dalam saluran kencing

PHM memaklumkan bahawa warna darah dalam air kencing boleh berbeza, ada yang merah terang, ada yang kelihatan seperti teh pekat, dan ada yang muncul sekejap lalu hilang sebelum datang kembali.

Di Malaysia, kanser buah pinggang bukan antara kanser paling kerap, namun kes tetap direkodkan dengan anggaran 1.9 kes bagi setiap 100,000 penduduk setiap tahun. Walaupun jumlahnya kecil, kebanyakan pesakit mendapatkan rawatan di peringkat lewat kerana menyangka simptom tersebut hanya jangkitan biasa.

Bagi kanser pundi kencing pula, trend di Asia Tenggara menunjukkan peningkatan kes, terutama dalam kalangan perokok dan mereka yang terdedah kepada bahan kimia industri.

Antara gejala awal yang sering bersifat samar, termasuk sengal di bahagian pinggang, benjolan kecil di sisi badan, penurunan berat badan tanpa sebab, keletihan berpanjangan serta demam berulang tanpa punca jelas.

Semua ini bukan tanda pasti kanser, tetapi ia petanda buah pinggang dan pundi kita sedang minta perhatian.

Perkara yang paling ramai tidak tahu, punca terbesar kanser saluran kencing ialah rokok. Bahan kimia rokok ditapis oleh buah pinggang dan berkumpul dalam pundi. Semakin lama ia berada di situ, semakin besar peluang sel menjadi rosak.

Risiko meningkat jika ada darah tinggi, obesiti, sejarah keluarga, jangkitan kencing berulang, atau kerja yang terdedah kepada bahan kimia industri.

Kalau anda perasan kencing berdarah walaupun sekali, itu sudah cukup untuk buat pemeriksaan awal. Ujian air kencing dan darah boleh dilakukan di mana-mana klinik.

Jika ada tanda mencurigakan, doktor akan buat ultrasound, dan jika perlu, CT scan atau cystoscopy untuk melihat bahagian dalam pundi secara jelas.

Bila dikesan awal, peluang rawatan jauh lebih baik. Kesihatan bukan benda kecil. Ia penentu setiap detik dalam hidup kita. Kalau badan mula beri isyarat pelik, dengar. Jangan tangguh.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here