Home Buletin Semasa IBU BAPA SAMBUT BAIK PENILAIAN TAHUN EMPAT, TINGKATAN TIGA

IBU BAPA SAMBUT BAIK PENILAIAN TAHUN EMPAT, TINGKATAN TIGA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Reaksi ibu bapa terhadap pengumuman Perdana Menteri mengenai pendekatan baharu penilaian pembelajaran di sekolah rendah dan menengah menunjukkan sokongan secara keseluruhan, meskipun terdapat kebimbangan tahap kesiapsiagaan murid dan beban silibus.

Semalam, Perdana Menteri  Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat pada 2026 dan Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga pada 2027 menerusi Matriks Pembelajaran Malaysia.

Bagi Wan Noorwahidah Wan Mahamud Shudi, 46, walaupun masih belum memahami sepenuhnya kaedah penilaian itu, namun beliau menyokong langkah berkenaan sekiranya ia dijadikan sebagai pengukur pencapaian murid.

“Sebagai ibu bapa, memang kita mahukan satu mekanisme untuk menilai pencapaian anak-anak, seperti sistem peperiksaan dahulu.

“Cuma mungkin anak-anak akan lebih berusaha kerana sebelum ini lebih banyak bermain,” katanya.

Pandangan sama dikongsi Siti Maffuzai Mohd Zawawi, 42, yang menyifatkan penilaian awal mampu membantu murid lebih bersedia menghadapi cabaran pembelajaran di peringkat seterusnya.

“Sekurang-kurangnya dengan adanya peperiksaan, kita boleh kenal pasti kelemahan dan kelebihan murid. Ramai lagi pelajar yang belum menguasai kemahiran asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) dan ibu bapa juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah.

“Saya mempunyai dua orang anak. Anak sulung berusia 14 tahun manakala bongsu berusia 10 tahun. Sebagai ibu sejujurnya saya agak berdebar kerana tahun ini anak bongsu akan menghadapi penilaian Darjah Empat, manakala anak sulung Tingkatan Tiga pada tahun hadapan ,” katanya.

Beliau juga berharap dengan adanya penilaian pembelajaran di sekolah rendah dan menengah akan melahirkan generasi yang mempunyai hala tuju.

“Sebagai ibu bapa harapan kami bukan sahaja melahirkan generasi yang terlalu selesa, sebaliknya anak-anak perlu tahu hala tuju serta sentiasa bersedia menghadapi ujian.

“Kewujudan penilaian itu sekurang-kurangnya membantu anak-anak membuat persediaan menghadapi peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),”katanya.

Ibu kepada tiga anak, Nik Norhasliza Abd Latiff, 45, berkata beliau menyambut baik langkah tersebut walaupun mengakui timbul perasaan bimbang, namun berpandangan persediaan perlu dimulakan lebih awal termasuk mendorong anak-anak untuk memberi tumpuan sejak tahun ini.

“Saya menyambut baik pendekatan baharu yang disuarakan Perdana Menteri.

“InsyaAllah dengan adanya penilaian ini anak-anak lebih bersedia untuk menghadapi ujian,”katanya.

Bagaimanapun, terdapat ibu bapa yang berpandangan pelaksanaan penilaian itu perlu disesuaikan mengikut peringkat umur dan silibus semasa.

Norhasmaliza Hasan, 42, ibu kepada lima orang anak berusia antara empat hingga 15 tahun, berpandangan pelaksanaan skim penilaian baharu di peringkat Tingkatan Tiga adalah wajar bagi memastikan murid benar-benar menguasai pembelajaran di peringkat menengah rendah sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi.

“Sekiranya murid di Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga masih tercungap-cungap menguasai pelajaran, ia boleh menimbulkan masalah apabila mereka memasuki Tingkatan Empat dan Lima, lebih-lebih lagi bagi aliran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

“Bagaimanapun, di peringkat Tahun Empat kurang sesuai kerana murid baru memasuki Tahap Dua dan masih menyesuaikan diri dengan subjek baharu, khususnya Sejarah,”katanya ketika dihubungi.

Sebaliknya, beliau mencadangkan penilaian dilaksanakan pada Tahun Lima bagi memberi ruang pembelajaran yang lebih mencukupi sebelum murid melangkah ke sekolah menengah.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here