Home Buletin Semasa BANTU ORANG BUTA JALANI KEHIDUPAN AKTIF

BANTU ORANG BUTA JALANI KEHIDUPAN AKTIF

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Individu yang mengalami masalah penglihatan sudah semestinya memerlukan sokongan, bimbingan dan semangat daripada masyarakat sekeliling untuk menjalani kehidupan yang aktif.

Pelatih Pakar Mata (Oftalmologi) Hospital Universiti Zainal Abidin (UniSZA), Dr Adri Shafit berkata, masih ramai individu yang mengalami kebutaan namun mempunyai keinginan untuk menyertai aktiviti fizikal seperti atlet larian kurang upaya penglihatan, Adry Fazmi.

“Kebutaan bukan bererti pengakhiran kehidupan, mereka juga seperti kita memerlukan semangat dan bimbingan untuk terus bergerak ke hadapan.

“Apabila kita berlari bersama mereka, pengalaman itu membuka perspektif baharu tentang tanggungjawab seorang pembimbing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pengalaman berada di kerusi doktor amat berbeza berbanding ketika bersama pesakit yang mengalami masalah kebutaan kerana mereka meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pembimbing mereka.

“Setiap pusingan larian, pendakian dan penurunan bukit, termasuk lubang atau halangan di jalan semuanya perlu diberi perhatian demi keselamatan mereka,” jelasnya.

Dr Adri turut berharap agar lebih ramai masyarakat tampil membantu pesakit buta terutama dalam aktiviti sukan.

Katanya, di Malaysia inisiatif itu masih berada pada peringkat awal, dan beliau mengakui masih terdapat cabaran jangka pendek yang perlu diperbaiki, termasuk tiada saluran yang jelas bagi individu yang ingin menjadi pembimbing kepada pesakit yang buta.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here