Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer (km) mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 90.81 peratus setakat Disember tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, prestasi kemajuan itu didorong antaranya oleh penyiapan kerja-kerja pengorekan bagi kesemua 41 terowong, penyempurnaan kerja-kerja pemasangan landasan kira-kira 500km dan pemasangan lebih 12,000 tiang Overhead Catenary System bagi membekalkan tenaga elektrik kepada sistem kereta api.
“Ini adalah beberapa komponen dan pemasangan yang penting, pembinaan terowong adalah yang paling sukar.
“Sebanyak 41 terowong sudah siap manakala pemasangan landasan masih berjalan. Tetapi setakat ini 500km sudah dipasang,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan ‘Feeder Station 01’ (FS01) di tapak Stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datul Seri Darwis Abdul Razak.
Beliau berkata pembinaan stesen Kota Bharu mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 82.06 peratus setakat Disember tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun ini.
“Dari segi fizikalnya stesen Kota Bharu telah siap cuma ada kerja-kerja mekanikal dan elektrikal yang perlu dilaksanakan.
“Stesen Kota Bharu merangkumi reka bentuk bangunan yang berteraskan konsep Rumah Meleh Melayu dan Bunga Ketam Guri serta menggunakan ciri-ciri unik kebudayaan Kelantan,”katanya.
Katanya ia membabitkan pembinaan atas tanah seluas 20.94 hektar dan stesen penumpang ini membabitkan platform bertingkat.
“Ia dilengkapi dengan kemudahan seperti eskalator, lif, lokasi pick-up dan drop off, lebih 500 lot tempat letak kereta, laluan pejalan kaki berbumbung, kawasan landskap dan kuarters pekerja serta kru kereta api,”katanya.
Beliau berkata bekalan elektrik 132 kilovolt (kV) dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Tunjong ke FS01 berjaya diaktifkan lebih awal berbanding jadual asal.
“Pengaktifan bekalan elektrik ini akan membolehkan keseluruhan aktiviti ujian dan pentauliahan di Stesen Kota Bharu serta peralatan tepi landasan dapat dijalankan dengan lebih awal,”katanya.
Beliau berkata pembinaan jajaran ECRL sepanjang 43km di negeri Kelantan mencapai kemajuan sebanyak 96.67 peratus sehingga Disember lalu.
“Jajaran ECRL di negeri Kelantan turut membabitkan pembinaan Stesen Kota Bharu di Tunjong bagi kegunaan penumpang sahaja dan Stesen Pasir Puteh di Cherang Tuli bagi tujuan penumpang dan kargo.
“Kementerian Pengangkutan yakin fasa ujian dan pentauliahan secara menyeluruh bagi Projek ECRL dapat dilaksanakan bermula Jun depan bagi memastikan kesediaan sistem ECRL dapat berfungsi dengan lancar dan selamat,”katanya.
Beliau berkata pihaknya juga optimis jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dapat disiapkan seperti dijadualkan dan perkhidmatan komersial ECRL dijangka beroperasi bermula Januari 2027.
IMedikel TV






