Home Segmen Kesihatan KENAL PASTI JENIS KETUMBIT

KENAL PASTI JENIS KETUMBIT

333
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikelTV

Keadaan di mana satu benjolan kecil di bahagian mata sering berlaku kepada individu daripada peringkat kanak-kanak hingga dewasa.


Malah ada dalam kalangan masyarakat kita yang mengaitkan benjolan kecil atau lebih dikenali sebagai ketumbit itu berlaku disebabkan tabiat suka mengintai orang mandi.


Selain itu, ada juga yang menganggap keadaan itu boleh dijangkiti sekiranya berdekatan dengan mereka yang mengalami ketumbit.


Hakikatnya ia hanyalah sekadar mitos sahaja dan tidak benar sama sekali.


Ketumbit di mata adalah kerana jangkitan bakteria. Dan ia juga tidak boleh berjangkit kepada orang lain.


Punca sebenar ketumbit mata adalah kerana jangkitan bakteria Staphylococcus Aureus dan penakungan minyak kerana saluran kelenjar yang tersumbat.


Biasanya, ia melibatkan bahagian folikel iaitu akar rambut, atau kelenjar meibomian yang terletak di tepi mata.


Walaupun masalah ini tidak mendatangkan berbahaya, namun ia justeru menimbulkan rasa tidak selesa kepada individu yang dijangkiti.


Ketumbit biasanya terbahagi kepada dua jenis iaitu stye (jangkitan kuman pada pangkal bulu mata) dan chalazion (penyumbatan pada kelenjar kelopak mata yang menghasilkan minyak pada permukaan mata).


Ketumbit stye adalah disebabkan oleh jangkitan kuman (Staphylococcus Aureus) di akar bulu mata (folikel). 


Manakala, chalazion pula disebabkan oleh penakungan minyak akibat saluran kelenjar tersumbat. 


Pada bahagian mata kita, terdapat kelenjar meibomian, yang berfungsi untuk menghasilkan sejenis cecair berminyak pada bola mata untuk mengelakkan lapisan air mata daripada menjadi kering.


Apabila kalenjar ini tersumbat, maka terjadilah ketumbit jenis chalazion. 


Punca utama kalenjar ini tersumbat adalah lapisan lemak dalam kelenjar yang terlalu melekit dan susah untuk dikeluarkan. Ia sering dialami oleh golongan yang mempunyai masalah acne rosacea.


Antara tanda dan gejala ketumbit yang sering berlaku adalah seperti yang berikut:
– Kelopak mata terasa sakit
– Timbul ‘bisul kecil’
– Mata rasa seperti berbiji
-Merah atau bengkak pada kelopak mata
– Kelopak mata gatal

Ketumbit tidak memerlukan rawatan yang spesifik kerana biasanya ia akan hilang dengan sendirinya.


Bagaimanapun, sesetengah individu mungkin mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya jangkitan tersebut merebak ke bahagian lain kelopak mata seterusnya menyebabkan preseptal cellulitis. 


Untuk mengurangkan gejalanya, anda boleh cuba merawatnya di rumah dengan menuam kawasan mata yang terdapat ketumbit beberapa kali sehari dengan air suam.


Cara-cara tuaman suam (warm compression) adalah:
-Menggunakan sehelai sapu tangan atau kain yang bersih
-Rendam dalam air separuh panas dan perah sehingga air tidak menitis
-Letakkan di atas kelopak mata dengan mata tertutup selama 10 minit
-Ulang 2-3 kali sehari mengikut nasihat doktor anda

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here