Home Luar Negara KEMATIAN MENINGKAT AKIBAT TUMPAHAN ASID SUSULAN JAMBATAN RUNTUH DI BRAZIL

KEMATIAN MENINGKAT AKIBAT TUMPAHAN ASID SUSULAN JAMBATAN RUNTUH DI BRAZIL

121
0

SAO PAULO: Angka kematian susulan runtuhan sebuah jambatan di Brazil yang menyebabkan tumpahan asid minggu lalu, meningkat kepada empat orang termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, sehingga semalam.

Menurut pihak berkuasa, runtuhan jambatan Juscelino Kubitschek de Oliveira itu menyebabkan 13 lagi mangsa hilang.

Katanya, keadaan semakin kritikal apabila tiga lori yang membawa muatan asid sulfurik dan racun perosak adalah antara lapan kenderaan yang jatuh ke dalam Sungai Tocantins apabila jambatan terbabit runtuh, Ahad lalu.

Menurut Agensi Air Nasional Brazil, kenderaan berat itu membawa 22,000liter racun perosak pertanian dan 76 tan asid sulfurik, iaitu sejenis bahan kimia yang menghakis.

Katanya, sehingga kini, belum diketahui sama ada asid terbabit meresap keluar dari lori dan mencemari sungai dan analisis air sedang dijalankan.

Sementara itu, pasukan penyelamat melakukan operasi secara berhati-hati, dengan menggunakan bot dan bekalan air sungai ke komuniti berhampiran juga dihentikan.

Pasukan bomba yang hadir di lokasi kejadian melaporkan bahawa empat mayat ditemui, termasuk pemandu wanita salah satu lori pengangkut asid, serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Pada Ahad, seorang lelaki berusia 36 tahun berjaya diselamatkan.

Jambatan yang dibina pada 1960-an sepanjang lebih setengah kilometer itu merupakan penghubung utama antara negeri Tocantins dan Maranhao di Brazil.

Punca runtuhan sedang disiasat, namun petunjuk awal menunjukkan bahawa bahagian tiangnya patah.

Pada hari sebelum runtuhan, seorang lelaki tempatan memuat naik video dalam talian yang menunjukkan retakan jelas pada jambatan itu, sekali gus memberi amaran bahawa ia berisiko runtuh.

Presiden Luiz Inacio Lula da Silva pada Isnin berjanji melalui platform media sosial X bahawa kerajaan Persekutuan akan memberikan bantuan yang diperlukan dalam operasi menyelamat dan menjalankan siasatan. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here