Home Sukan KEM TERJUN LEPASI SASARAN

KEM TERJUN LEPASI SASARAN

HANGZHOU: Kem terjun negara sudah melakukan yang terbaik daripada jangkaan di Sukan Asia Hangzhou apabiila menamatkan saingan di kedudukan ketiga keseluruhan.

Bagi edisi kali ini pasukan terjun membawa pulang satu pingat perak dan empat gangsa, melepasi sasaran awal diletakkan iaitu satu perak dan dua gangsa.

Tuan rumah China seperti dijangka membolot keseluruhan 10 emas ditawarkan selain enam perak dalam acara individu manakala Korea Selatan berada di kedudukan kedua, dengan kelebihan satu perak berbanding Malaysia.

Atlet Terjun Negara, Bertrand Rhodict Lises beraksi pada pusingan akhir acara terjun 10 Meter platform pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di pusat sukan akuatik Olimpik Hangzhou. Foto: BERNAMA

Dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita, Wendy Ng-Nur Dhabitah Sabri berjaya mempertahankan kilauan perak dimenangi lima tahun lalu selain sudah berusaha sedaya upaya untuk memburu slot kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Memetik laporan menerusi berita harian,Selepas ini, mereka bakal beraksi dalam kejohanan yang menawarkan kelayakan Olimpik di Kejohanan Terjun Dunia di Doha pada Februari nanti.

Dhabitah yang hanya memiliki tempoh persediaan sebulan bagi temasya ini juga menunjukkan prestasi baik di Hangzhou, meraih gangsa dalam acara 10m platform seirama wanita bersama Datuk Pandelela Rinong.

Selepas mengalami kecederaan pergelangan tangan pada Julai, Dhabitah terpaksa melupakan Kejohanan Dunia di Fukuoka dan hanya kembali menyertai kem latihan pada Ogos.

Andai mengambilkira aspek berkenaan selain Pandelela semakin dimamah usia, gangsa yang diperoleh sudah tentu membuktikan semangat jitu dipamerkan mereka.

Pandelela membuktikan yang dirinya masih kekal relevan dan mampu menjadi figura terbaik dalam pasukan terjun negara.

Atlet berusia 30 tahun yang membuat penampilan sulung di Sukan Asia pada 2010, menamatkan penantian pingat 13 tahun Malaysia dalam acara 10m platform wanita apabila menamatkan saingan final di tempat ketiga.

“Penampilan sulung saya adalah pada 2010 dan saya meraih gangsa. Untuk memenanginya semula dan menamatkan penantian 13 tahun Malaysia, itu hanya membuktikan seluruh pengorbanan saya dan nyata ia berbaloi.

“Saya sangat meminati terjun, ia adalah minat saya. Saya tidak tahu untuk menyatakan sama ada ini penampilan Sukan Asia terakhir saya kerana saya mahu beraksi selagi badan saya mengizinkan.

“Untuk orang seperti saya, ia akan menjadi semakin sukar tetapi saya mempunyai sistem yang baik di sekeliling saya. Jurulatih dan rakan sepasukan saya.

“Seperti yang anda tahu, standard terjunan semakin tinggi. Saya mahu menjadi inspirasi kepada generasi muda. Untuk berusaha gigih dan cuba mencapai keputusan yang lebih baik di peringkat antarabangsa,” kata Pandelela.

Dalam pada itu, pengurus pasukan terjun yang juga bekas penerjun negara, Datuk Leong Mun Yee berkata: “Sekiranya Pandelela mahu terus beraksi, ia sesuatu yang hebat.

“Buat masa ini, kami sedang melihat kepada sasaran jangka pendek. Kami akan menyertai Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik pada tahun depan. Tidak seperti China, kami tidak mempunyai pelapis yang ramai,” kata Mun Yee yang pernah meraih perak bersama Pandelela di Kejohanan Dunia 2019.

Dalam pada itu, pasukan lelaki juga menunjukkan prestasi yang baik terutama penerjun seperti Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold yang meraih gangsa dalam acara 10m platform seirama.

Ooi Tze Liang dan Syafiq Puteh juga meraih gangsa dala acara 3m papan anjal seirama.-Berita harian online-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here