Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berhasrat ‘mengeskport’ kepimpinan bukan sahaja ke Malaysia tetapi ke seluruh dunia, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Kelantan Zamakhshari Muhamad.
Beliau berkata sasaran itu dilakukan atas keyakinan dan pengalaman ramai dalam kalangan rakyat Kelantan bertebaran menjadi pemimpin.
“Contoh kepimpinan melibatkan negara lain, kalau sebelum ni orang kata Kelantan ini pengeksport ustaz dan cikgu (guru) ke seluruh negara, jadi sekarang ini kita hendak eksport kepimpinan pula.
“Apabila kita latih generasi muda dari awal mengikut bakat (kepimpinan) yang mereka sudah ada, mereka akan terus boleh memimpin negara dan dunia suatu hari nanti,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Kelantan Future Leaders Camp 2025, baru-baru ini.
Menurutnya apa yang memberi keyakinan terhadap kenyataan itu ialah Kelantan sudah ada ‘master plan’ dengan adanya Kelantan Future bukan tumpuan kepada pelajar menengah sahaja, tetapi hingga ke peringkat universiti yang mana pihaknya turut menyediakan program di universiti-universiti.

Zamakhsari berkata pihaknya turut memberi tumpuan dan pertimbangan terhadap lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum mereka memasuki universiti.
“Agenda kita juga bukan setakat program-program kepimpinan di Kelantan dan di Malaysia, malah turut memberi pendedahan menerusi hubungan serta program antarabangsa melalui program belia luar negara,” katanya.
“Kita memang pilih mereka mengikut kriteria, memang antaranya dia memegang jawatan kepimpinan ketua pelajar ke pengawas atau pun mana-mana badan berkaitan kepimpinan, selain mempunyai keputusan akademik yang cemerlang,” jelasnya.
Menurutnya apabila mereka adakan kem kempimpinan, ia mampu mengesan bakat pemimpin terunggul dan ada motivasi, sekali gus mencungkil minat anak muda Kelantan dalam kepimpinan yang sangat tinggi.

Beliau berkata menjadi peranan kerajaan untuk menggarap kemahiran kepimpinan kepada mereka, sekali gus memberi ruang untuk mengaplikasi sifat kempimpinan yang dimiliki.
Sementara itu, bekas Tokoh Belia Negara 2015, Suhail Mohamed Kamaruddin berkata beliau bukan sahaja menjadi Tokoh Belia Negara 2015, tetapi juga penerima The Duke Of Edinburgh International Award London (emas) pada 2009 dan Tokoh Remaja Emas Perdana 2015.
Beliau mengakui sejak dahulu hingga sekarang Kelantan telah melahirkan modal insan yang kuat sehingga mampu membekalkan penjawat awam berjawatan tinggi dan ramai daripada guru di Malaysia adalah berasal Kelantan.
“Bagi saya ini adalah usaha positif yang boleh membawa pemimpin dari Kelantan ke peringkat dunia dan Kerajaan Negeri perlu mengambil serius dan menjadikan usaha ini lebih sistematik termasuk membuat struktur lebih teratur.
“Selepas ini mereka juga boleh susulan atau progres dari sudut melahirkan lebih ramai pemimpin profesional dan melibatkan belia negeri ini dalam program pengantarabangsaan, sebagai contoh program di Duke Of Edinburgh supaya mereka mendapat anugerah dan kita mahu seramai mungkin pemimpin terlatih dapat anugerah tersebut,” katanya.
Suhail berkata Kelantan bukan sahaja melahirkan modal insan yang sangat berprestij dan berkualiti kepada negara dalam pelbagai sektor sama ada sektor awam, malah dominan dalam sektor swasta.
“Tidak dinafikan pengasas-pengasas kecantikan dan usahawan di Malaysia ramai berasal dari Kelantan, juga 45 peratus penuntut di negara ini dari Kelantan, yang sekali gus memberi kelebihan kepada negeri ini,” katanya.
IMedikel TV






