Home Buletin Semasa PEKEBUN DIPENJARA EMPAT TAHUN, DENDA RM3,000 LAKUKAN PEMERASAN TERHADAP WANITA WARGA EMAS

PEKEBUN DIPENJARA EMPAT TAHUN, DENDA RM3,000 LAKUKAN PEMERASAN TERHADAP WANITA WARGA EMAS

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang pekebun dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam setelah mengaku bersalah melakukan pemerasan terhadap wanita warga emas berusia 62 tahun di Kampung Lubok Simpol, Kuala Krai pada bulan lepas.

Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohd Zakuan Jaafar, 38, selepas dia membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu melakukan pemerasan terhadap wanita terbabit yang menyebabkan mangsa ketakutan akan dibunuh sehingga mendorong warga emas berkenaan menyerahkan wang tunai RM100.

Kesalahan terbabit dilakukannya di sebuah kedai makan di Kampung Lubok Simpol di Kuala Krai, pada pukul 11 pagi, 28 Januari lepas.

Pendakwaan ke atas Mohd Zakuan dibuat mengikut Seksyen 386 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Zakuan yang masih bujang memohon hukumannya diringankan, selain penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 28 Januari lepas serta merayu ditempatkan di Penjara Machang bagi memudahkan rawatan kerana sakit kaki.

“Saya minta duit dan ugut bunuh kerana dia (mangsa) berhutang dengan saya,” kata tertuduh.

Zulkifli sebelum menjatuhkan hukuman itu menasihatkan supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama kerana perbuatan terbabit serius ditambah penggunaan parang terhadap wanita hingga mendatangkan trauma kepada mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM3,000 terbabit dengan penjara tambahan selama 12 bulan jika gagal menjelaskan denda.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh ditempatkan di Penjara Machang.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here