Home Buletin Semasa KASTAM LEPAS TIGA DAS TEMBAKAN KE ARAH LORI BAWA ROKOK SELUDUP

KASTAM LEPAS TIGA DAS TEMBAKAN KE ARAH LORI BAWA ROKOK SELUDUP

260
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan melepaskan tiga das tembakan ke arah sebuah lori yang membawa muatan rokok seludup bernilai RM186,000.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata pihaknya mendapati sebanyak 124 peti yang mengandungi 1,240,000 batang rokok putih di dalam lori berkenaan.

“Tembakan itu dilepaskan ke arah tayar belakang sebelah kanan lori berikutan pemandunya cuba merempuh pasukan operasi ketika melakukan intipan dan risikan menggunakan motosikal.

“Pasukan operasi berjaya menahan kenderaan itu setelah mengekorinya sejauh dua kilometer dari Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang sebelum suspek memberhentikan kenderaan dan melarikan diri di kawasan semak di tepi jalan Mat Kancil, Kampung Padang Jelapang, Pasir Mas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kelantan, di sini, hari ini.

Jelasnya, pasukan operasi mencari dan mengesan pemandu lori berusia lingkungan 20-an itu, namun suspek tidak berjaya ditemui.

Menurutnya, keseluruhan rampasan rokok berkenaan dipercayai diambil dari pangkalan haram di tepi sungai di Tumpat, dan dibawa masuk ke pasaran Kelantan.

“Motorlori jenis Isuzu yang ditembak itu dianggarkan bernilai RM30,000 dan jumlah keseluruhan nilai rampasan, termasuk duti dan cukai, dianggarkan berjumlah RM1,053,000,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 136, Akta Kastam 1967 dan boleh dikenakan hukuman pemenjaraan selama suatu tempoh yang tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Sehubungan dengan itu orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here