Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merekodkan sebanyak 89 kes berkaitan penyeludupan barangan kawalan, dengan rampasan keseluruhan bernilai RM176,080 bermula 1 Januari hingga semalam.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, rampasan kes terbabit dilakukan menerusi operasi khas bagi membanteras aktiviti penyeludupan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pencatutan yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Bermula tahun ini sehingga 26 Januari sahaja kita dapat merekodkan sebanyak 89 kes.
“Jumlah nilai rampasan adalah RM176,000 dan kes kompaun adalah 48 dengan nilainya ialah RM12,000 dalam tempoh sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas program Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina, di sebuah pasaraya, di sini, hari ini.
Katanya, pada masa sama, pihaknya berjaya menangkap sebanyak 18 tangkapan di bawah kesalahan sama.
IMedikel TV






