Home Buletin Semasa KASTAM KELANTAN RAMPAS 14.398KG GANJA BERNILAI LEBIH RM1.4 JUTA

KASTAM KELANTAN RAMPAS 14.398KG GANJA BERNILAI LEBIH RM1.4 JUTA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 14.398 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai lebih RM1.4 juta di Pintu 1, Zon Bebas, di sini, pada 27 Mei lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, dalam kenyataan memaklumkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam, Unit Narkotik Zon Timur Rantau Panjang menerima maklumat awam berhubung sebuah beg mencurigakan yang ditinggalkan di kawasan tersebut.

“Pemeriksaan ke atas beg itu menemui 10 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki bunga ganja.

“Serentak dengan itu, pemeriksaan ke atas seorang lelaki warga negara jiran yang membawa sebuah beg melalui pintu sama turut menemui 15 paket plastik lutsinar berisi bahan sama.

“Jumlah keseluruhan rampasan melibatkan dua beg mengandungi 25 paket disyaki bunga ganja seberat 14.398 kilogram, dengan anggaran nilai RM1,439,800,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki berkenaan kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup beserta tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

“Modus operandi sindiket dipercayai menyeludup bahan terlarang itu melalui pengkalan haram di Sungai Golok sebelum cuba melepasi Zon Bebas Rantau Panjang,”katanya.

Sehubungan dengan itu orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,”katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi mana-mana pejabat Kastam terdekat dan pihak JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan sepenuhnya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here