MUNICH: Penyerang berpengalaman Serge Gnabry dan pemain remaja berbakat Lennart Karl membantu Bayern Munich bangkit meraih kemenangan 3-1 di laman sendiri ke atas Sporting Lisbon pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Bayern ketinggalan hasil gol sendiri Joshua Kimmich pada separuh masa kedua dan berdepan kekalahan Eropah kedua berturut-turut, sebelum Gnabry dan Karl menjaringkan gol pantas untuk mengubah keadaan.
Gnabry kemudian mengumpan kepada pemain pertahanan Jonathan Tah untuk menjaringkan gol lewat bagi memastikan Bayern membawa pulang tiga mata penuh dan kini berada di tangga kedua peringkat kumpulan, di belakang Arsenal berdasarkan perbezaan gol.
“Sepuluh minit pertama separuh masa kedua tidak begitu baik, tetapi kami tetap tenang,” kata jurulatih Bayern, Vincent Kompany kepada DAZN.
“Kami sudah melakukan tugas dengan baik setakat ini dan mahu mengekalkannya hingga tamat.”
Karl muncul pemain termuda menjaringkan gol dalam tiga perlawanan Liga Juara-Juara berturut-turut, mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang Kylian Mbappe.
“Beraksi dalam Liga Juara-Juara pada usia 17 tahun amat istimewa bagi saya,” kata Karl kepada DAZN.
“Saya berbangga dengan diri sendiri dan pasukan.”
Kompany membuat tujuh pertukaran dalam kesebelasan utama, memanggil semula Harry Kane, Gnabry, Karl, Manuel Neuer dan Tah yang direhatkan pada perlawanan Sabtu lalu menentang Stuttgart bagi melayan kunjungan Sporting.
Gol Karl pada minit kelima dibatalkan kerana ofsaid manakala percubaan Kane terkena tiang pada minit ke-30.
Kane, Karl dan Gnabry memaksa penjaga gol Sporting, Rui Silva melakukan beberapa tindakan penyelamat akrobatik sebelum rehat.
Kesilapan Bayern pada awal separuh masa kedua meletakkan Sporting di hadapan, dengan Neuer tidak berdaya apabila Kimmich tertampan masuk hantaran silang Joao Simoes pada minit ke-54.
Gol itu menyedarkan Bayern dan juara Jerman itu membalas pantas dengan dua gol dalam tempoh empat minit.
Gnabry yang tidak dikawal menampan masuk sepakan sudut Michael Olise untuk menyamakan kedudukan. Karl pula menyambut hantaran Konrad Laimer sebelum merembat kencang dari sudut sukar.
Dengan berbaki 13 minit, Kimmich dan Tah menebus kesilapan pertahanan mereka dengan bekerjasama menjaringkan gol ketiga Bayern, dengan sedikit bantuan daripada Gnabry.
Kimmich melencongkan hantaran lintang kepada Gnabry, yang menanduk ke tengah untuk Tah menampan masuk dalam kotak penalti. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






