MUNICH: Harry Kane meledak hatrik ketika Bayern Munich membelasah Mainz 8-1, menyamai rekod 60 tahun dan meneruskan harapan pasukannya mengejar Bayer Leverkusen di puncak Bundesliga.
Kane, yang turut melakukan dua umpanan gol, kini mengumpul 30 gol pada musim pertama di Munich, menyamai rekod untuk kempen sulung dicatat legenda Jerman, Uwe Seeler bersama Hamburg pada musim 1963-64.
Dengan sembilan perlawanan berbaki, kapten England itu turut menghampiri rekod 41 gol semusim dicatat Robert Lewandowski ketika bersama Bayern pada musim 2020-21.
Kemenangan itu adalah yang kedua terbesar buat Bayern musim ini, selepas keputusan 8-0 ke atas Darmstadt pada Oktober.
Bayern kini tujuh mata di belakang Leverkusen kendalian Xabi Alonso yang belum tewas, dengan pendahulu itu akan bertemu Wolfsburg malam ini.
Selepas mengesahkan kemaraan ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah pada Selasa dengan kemenangan 3-0 ke atas Lazio, Bayern tampil lebih tajam menentang Mainz.
Kane membuka jaringan dengan menolak masuk hantaran Jamal Musiala pada minit ke-13. Tujuh minit kemudian tandukannya diselamatkan, tetapi Leon Goretzka membuat tindakan susulan untuk gol kedua.
Nadiem Amiri meledak gol tunggal Mainz menerusi sepakan percuma tetapi Kane kembali melebarkan kedudukan di akhir babak pertama.
Thomas Mueller menjaringkan gol keempat di awal babak kedua, disusuli jaringan Musiala, Serge Gnabry, Kane dan Goretzka.
Mainz kini menghuni tangga kedua tercorot, sembilan mata di bawah garis selamat. – AFP,BH Online-
Imedikel TV






