LONDON: Eddie Howe memuji barisan pemain Newcastle sebagai pencipta sejarah selepas menamatkan penantian selama 56 tahun dengan kemenangan 2-1 ke atas Liverpool pada perlawanan akhir Piala Liga, awal pagi tadi.
Gol daripada Dan Burn dan Alexander Isak memastikan Newcastle menjulang kejuaraan di Wembley, dengan jaringan Federico Chiesa pada minit-minit terakhir terlalu lewat untuk menyelamatkan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Ia adalah trofi utama pertama Newcastle sejak Piala Inter-Cities Fairs 1969 dan kejuaraan domestik pertama mereka sejak menjulang Piala FA 70 tahun lalu.
Selepas tewas dalam perlawanan akhir Piala Liga 2023 kepada Manchester United, Howe mengakui dia berasa terharu akhirnya dapat membawa pulang trofi ke St James’ Park.
“Sejujurnya saya berasa sangat emosi sepanjang hari dan itu bukan perkasa biasa untuk saya pada hari perlawanan.
“Tetapi kami tahu apa yang dipamerkan hari ini adalah untuk semua orang di sini, semua orang di Newcastle, dan kami hanya mahu membuat mereka bangga.
“Kami begitu terdesak untuk memenangi trofi ini selepas bertahun-tahun kecewa. Kami sedang mencipta sejarah baharu, saya fikir kami sangat hebat hari ini,” kata Howe.
Howe menjadi pengurus Inggeris pertama yang memenangi trofi domestik utama di England sejak Harry Redknapp menjulang Piala FA 2008 bersama Portsmouth.
Newcastle, yang kini di tangga keenam, ketinggalan 23 mata di belakang Liverpool yang dijangka menjadi juara dan belum pernah menewaskan mereka dalam semua pertandingan sejak 2015.
Namun, The Magpies berjaya merapatkan jurang dengan aksi bertenaga yang menjadi bukti kehebatan taktikal Howe. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






