Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan akan menjalankan ujian saringan air kencing sebanyak dua kali setahun terhadap semua pegawai dan kakitangannya bagi memastikan tiada penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga jabatan itu, selain memastikan pematuhan anti-doping dalam kalangan atlet.
Pengarah JBS Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan dengan menyelitkan sesi ceramah dan pameran kesedaran tentang dadah dalam program yang dianjurkan.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan AADK dan turut terlibat dalam jawatankuasa membanteras dadah.
“Kita akan melaksanakan ujian saringan air kencing kepada pegawai, kakitangan dan kumpulan sasaran tertentu di jabatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Malaysia Aktif Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025, di D’Rhu Rehlah, Pantai Bisikan Bayu, Semerak, di sini, hari ini.
Mohd Saipuddin berkata, antara acara yang disediakan ialah Family Fun Run, Fun Run dan Aerobikthon, selain pameran serta jualan pemakanan sihat, peralatan sukan dan rekreasi, termasuk pameran kesihatan oleh agensi berkaitan.
Tambahnya, program larian pada musim Monsun Timur Laut (MTL) itu adalah kerana aktiviti bermain hujan juga menjadi kegemaran segelintir masyarakat, namun kini aktiviti itu semakin dilupakan.
Katanya, program itu disertai hampir 2,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk institusi pendidikan serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah yang disediakan.
Hadir sama, Penolong Ketua Jajahan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, Mohd Safuan Hanapi, Penolong Pengarah Kanan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Kelantan, Kamariah Said dan Ketua Cawangan Khas Daerah (KCKD) Pasir Puteh, Asisten Superintenden (ASP) Mohd Faizul Mohd Sukerna.
IMedikel TV






