Home Buletin Semasa KAIN PELIKAT USANG JADI TILAM

KAIN PELIKAT USANG JADI TILAM

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Seorang warga emas, hidup bersendirian dengan beralaskan kain pelikat di sebuah rumah usang yang menanti rebah terletak jauh di hujung Kampung Temenggong, Nibong, di sini.

Mohamad Tarmizi Husain, 60, hidup sebatang kara sejak kematian neneknya ketika dia berusia 18 tahun.

Difahamkan Mohamad Tarmizi tinggal bersama neneknya sejak kecil selepas ibu bapanya bercerai.

Bagaimanapun, nenek yang menjadi satu-satunya tempat bergantung sejak kecil, meninggalkan ruang kosong yang tidak pernah terisi sehingga kini.

“Selepas kematian nenek, saya tinggal bersendirian dan tidak pernah berkahwin sehingga kini.

“Nenek saya meninggal ketika arwah berumur 75 tahun akibat sakit tua,”katanya.

Menurut Mohamad Tarmizi, sejak berusia 18 tahun, pelbagai pekerjaan dilakukan termasuk penorah getah, bekerja di sebuah kilang pembuatan pucuk dan melakukan kerja meracun tanaman.

“Sekarang ini kalau saya boleh buat kerja, memang saya kerja.

“Saya mengambil upah untuk meracun, biasanya dalam RM12 untuk satu tangki racun yang digunakan,”katanya.

Namun, kehidupan Mohamad Tarmizi bertambah perit selepas disahkan menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Keadaan kesihatan yang semakin merosot memaksanya untuk melakukan kerja kampung ringan bagi meneruskan kehidupan.

Dia kini perlu berulang-alik ke klinik kesihatan berdekatan menggunakan sebuah motorsikal bagi mendapatkan rawatan susulan penyakitnya, walaupun dengan kudrat yang semakin lemah.

“Saya kena penyakit kencing manis sejak tahun 2000. Bagi mendapatkan kesihatan yang baik, saya memang sentiasa mengambil ubat.

“Saya memang akan pergi ke hospital sendiri sahaja, namun kalau tidak larat, ada yang akan membantu saya membawa ke hospital,”katanya.

Dengan berbumbungkan atap yang bocor setiap kali hujan dan dinding usang tanpa tingkap, di situlah juga tempat dia berteduh untuk tidur dengan beralaskan kain pelikat dan memasak.

“Memasak dan mandi tidak menjadi masalah, makan pun macam biasa sekadar yang saya boleh buat.

“Saya memasak di dalam rumah menggunakan periuk nasi elektrik yang disedekahkan.

“Biasanya saya memasak ikan, ayam dengan daging jarang-jarang,”katanya.

Sementara itu, Koordinator 3rd Force Pasir Mas, Wan Zalilah Shafie, berkata pihaknya dalam usaha untuk membaik pulih rumah milik Mohamad Tarmizi bagi memberi lebih keselesaaan kepadanya.

“Kita cuba sedaya upaya untuk membantu dan mendapatkan dana atau sumbangan orang ramai untuk memberi sumbangan kepada Mohamad Tarmizi.

“Saya berharap kerja membaik pulih rumah tersebut dapat disiapkan dalam masa yang terdekat,”katanya.

Menurut Wan Zalilah proses membaik pulih itu termasuk menukar dinding, atap, papan lantai, membina sebuah bilik tidur, bilik air dan dapur untuk memasak.

“Buat masa sekarang, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memberi bantuan bulanan kepada Mohamad Tarmizi dan kita cuba bagi keselesaan kepadanya.

“Masa banjir sebelum ini, kami dapat maklumat dia tidur beralaskan kain pelikat usang dengan rumah keseluruhannya bocor, basah.

“Dia memasak pun ala kadar sahaja sebab rumahnya bocor keseluruhan. Kita cuba dapatkan toto dan selimut untuk keselesaan tidur,”katanya.

Katanya, Program Ziarah Prihatin itu turut dihadiri Pensyarah Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas, Ir. Khairul Ikhzwan Mustapha bagi membantu proses pendawaian elektrik rumah Mohamad Tarmizi.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Raja Shamri melalui nombor akaun Bank Islam – 030900100663400.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here