Home Hiburan ‘BUDIN’ SANGAT PENYABAR

‘BUDIN’ SANGAT PENYABAR

Pelakon berkaliber tanah air, Kamal Adli, 38, tidak menyangka watak Budin yang dilakonkan dalam drama Dia Imamku membawa nilai kesabaran yang tinggi buat dirinya.

Memetik laporan Harian Metro, bapa seorang anak perempuan ini menyifatkan watak Budin sebagai seorang yang penyabar, namun tidak tahu sejauh mana karakter terbabit betul-betul baik dan ada orang sebegitu dalam dunia realiti.

“Saya tidak sangka watak Budin boleh sesabar itu. Saya sendiri tertanya-tanya, adakah wujud seseorang seperti Budin yang penyabar dan boleh menerima takdir dalam apa juga keadaan?

“Jadi, tingkat sabar saya sebagai Budin sangat tinggi dan tidak pernah saya bawakan lagi dalam drama pernah dibintangi sebelum ini.

“Namun, saya seronok dan begitu ‘enjoy’ melakonkan karakter sebegini dan kalau ada peluang (untuk watak seperti Budin) pada masa akan datang, saya nak buat lagi,” katanya.

Menurut Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, banyak kebaikan yang dipelajarinya daripada Budin atau nama sebenar watak itu adalah Amiruddin.

“Pada saya, Budin ini tetap lelaki yang amat baik kerana dia sentiasa sabar dalam mengawal emosi. Terutama Budin juga hanya marah bila perlu atau keadaan sesuai untuk dia menegakkan keadilan.

“Dari sudut keagamaan pula, banyak yang saya ambil berat dan terapkan dalam kehidupan harian. Jadi, Budin adalah karakter yang wajar menjadi contoh kepada suami di luar sana termasuk saya sendiri,” jelasnya.

Ditanya juga pengalaman Budin berjumpa Humairah iaitu watak dibawa Siti Saleha, lelaki asal Pahang ini memberitahu karakter itu juga mencerminkan sikap seorang wanita yang sangat baik.

“Dalam kehidupan sebenar, saya pernah berhadapan wanita yang mempunyai karakter diri seperti Humairah. Saya akui memang menyakitkan hati, tapi buat tak endah saja.

“Sekarang saya lebih selesa ambil pendekatan positif dan buat macam biasa seperti tiada masalah perlu difikirkan kerana kita hanya perlu ‘enjoy’,” kata suami pelakon Uqasha Senrose ini.

Menurut pelakon filem Conquer: Lahad Datu itu lagi, dalam drama Dia Imamku ada begitu banyak babak menarik yang pastinya buat penonton tertunggu-tunggu.

“Semua babak dalam drama ini (Dia Imamku) menarik bagi saya. Tetapi, paling ‘best’ ialah ketika Budin mempunyai titik kebangkitannya dan itu babak berat bagi saya.

“Budin digambarkan berada pada titik terendah dirinya dan tiba-tiba berubah menjadi individu yang baru dan penonton perlu sabar menunggu babak ini,” katanya.

Mengulas juga mengenai persamaan dirinya dan Budin, mereka berdua boleh dikatakan seorang yang sabar, namun tahap kesabaran Kamal tidak setanding Budin.

“Persamaan antara diri saya sebenar dan Budin adalah kami berdua individu penyabar. Tetapi, kesabaran dalam diri saya tidak dapat menandingi Budin.

“Saya pun tengah belajar lagi tahap kesabaran Budin yang teramat tinggi itu dan untuk mencapai peringkat sama, suami di Malaysia perlu buat perkara sama seperti cara Budin,” katanya.

Menurut Kamal, dia berharap penonton drama Dia Imamku menginspirasikan watak Budin supaya menjadi teladan yang baik buat suami untuk sentiasa bahagiakan isteri mereka.

Selain Kamal dan Siti Saleha, barisan pelakon lain drama Dia Imamku karya Siti Rosmiza yang disiarkan di Astro itu seperti Khadijah Tan, Zara Zya dan Imam Shah. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here