MILAN: Impian Inter Milan untuk meraih treble makin menyala apabila layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi selepas seri 2-2 dengan Bayern Munich yang membolehkan kelab gergasi Serie A itu menang aksi suku akhir 4-3 secara agregat.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, juara Itali, Inter akan berdepan Barcelona pada separuh akhir selepas gol dalam tempoh tiga minit daripada kapten Lautaro Martinez dan Benjamin Pavard memadamkan jaringan Harry Kane buat Bayern yang menyamakan agregat pada minit ke-52.
Tandukan Eric Dier pada minit ke-75 membantu Bayern meraih keputusan seri tetapi ia tidak mencukupi buat pasukan kendalian Vincent Kompany untuk meneruskan usaha mereka dinobat sebagai juara Eropah buat kali ketujuh di laman sendiri, Allianz Arena.
Pasukan kendalian Simone Inzaghi mengatasi cuaca buruk di San Siro bila mana hujan lebat dan angin kencang menjejaskan keupayaan kedua-dua pasukan untuk memperagakan aksi terbaik.
“Kami berdepan jadual padat dengan banyak perlawanan satu demi satu, tetapi kami tidak berputus asa, kami mempunyai keperibadian, hati serta kebijaksanaan. Kami ketinggalan beberapa ketika hari ini tetapi kami buktikan sekali lagi kami boleh melakukan perkara hebat,” kata Martinez kepada Amazon Prime.
“Kami memikirkan mengenai menang segala-galanya pada awal setiap musim, kerana jika tidak maka kami tidak patut bermain sukan ini. Itulah mentaliti kami.”
Inter masih berpeluang mengulangi pencapaian treble dengan memenangi Serie A, Liga Juara-Juara dan Piala Itali seperti di bawah kendalian Jose Mourinho pada tahun 2010, kerana mereka turut mendahului tiga mata di depan Napoli dalam liga utama Itali serta bertemu AC Milan pada separuh akhir piala domestik.
Kemenangan awal pagi tadi membuktikan Inter lebih daripada mampu untuk layak ke final pertandingan kelab elit Eropah itu, seperti dilakukan mereka dua tahun lalu apabila tumpas tipis di tangan Manchester City.
Bayern menang semua tiga aksi terdahulu Liga Juara-Juara di Inter, tetapi selepas Pavard menanduk masuk gol pertamanya buat kelab itu pada minit ke-61, kelab pendahulu Bundesliga yang berdepan krisis kecederaan itu gagal mencari gol kemenangan.
Inter juga akan mendapat manfaat bermain aksi kedua pertembungan dengan Barca di San Siro, yang dikalahkan mereka pada separuh akhir dalam laluan muncul juara di Madrid 15 tahun lalu. – AFP, BH Online –
IMedikel TV





