Home Buletin Semasa JPJ KENAKAN 13 SAMAN MOTOSIKAL YAMAHA 135LC DI SEKITAR LTSIP

JPJ KENAKAN 13 SAMAN MOTOSIKAL YAMAHA 135LC DI SEKITAR LTSIP

80
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dikenakan sebanyak 13 saman dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan di sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), pada Jumaat.

Operasi yang berlangsung dari jam 4 petang hingga 2 pagi itu mendapati motosikal berkenaan melakukan pelbagai kesalahan serius termasuk pengubahsuaian ekstrem, tidak memiliki lesen memandu serta lesen kenderaan motor yang sudah tamat tempoh sejak 2018.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, dalam operasi sama, sebuah kereta jenis Honda turut disita kerana melakukan kesalahan menukar enjin tanpa kebenaran.

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 205 kenderaan diperiksa dengan 171 notis dikeluarkan. Daripada jumlah itu, 132 kenderaan dikenakan tindakan dan 16 kenderaan disita,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, JPJ turut merekodkan tindakan terhadap 41 kes dengan 80 notis dikeluarkan serta lima kenderaan disita, terdiri daripada empat motosikal termasuk Yamaha 135LC tersebut dan sebuah kereta Honda.

Menurutnya, antara kesalahan utama yang dikesan termasuk kesalahan pelesenan pemandu, pelesenan kenderaan, pengubahsuaian teknikal kenderaan serta pelanggaran undang-undang lalu lintas.

“Operasi ini dijalankan susulan kegiatan menduga kelajuan dan aktiviti kumpulan motosikal rempit serta kumpulan berkereta di sekitar LTSIP yang semakin membimbangkan dan turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan,” katanya.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 91 kes dengan 11 kenderaan disita, melibatkan 10 motosikal dan sebuah kereta.

Tambahnya, seramai 12 individu turut menjalani saringan air kencing dan kesemua didapati negatif.

Beliau menegaskan, operasi seumpama ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya serta memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak melakukan pengubahsuaian ekstrem yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here