Home Buletin Semasa JPJ KELANTAN KELUARKAN 2,941 NOTIS SAMAN SEMASA OPS HRA 2025

JPJ KELANTAN KELUARKAN 2,941 NOTIS SAMAN SEMASA OPS HRA 2025

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan sebanyak 2,941 notis saman sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 bermula 24 Mac lepas sehingga hari ini.

Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah berkata, sebanyak 1,759 kenderaan telah dikenakan atas pelbagai kesalahan.

“Ini bermakna berlaku penurunan ketara berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 10,639 notis saman dikeluarkan oleh pihak penguatkuasa.

“Pada tahun ini sebanyak 8,370 kenderaan telah diperiksa berbanding tahun lepas 31,917 kenderaan dilakukan pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Penutup Operasi Khas Sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 di Akademi Wilayah Timur, di sini, malam tadi.

Mohd Misuari berkata, operasi berkenaan menyasarkan tujuh kesalahan iaitu tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong daripada menghalang kenderaan lain, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit.

“Antara kesalahan tertinggi Lesen Kenderaan Motor (LKM) Tamat Tempoh dengan jumlah notis saman sebanyak 402 notis,” katanya.

Jelasnya, kenderaan diperiksa terdiri daripada pelbagai kategori iaitu motokar, motosikal dan kenderaan perdagangan berat serta bas.

“Sebanyak empat kenderaan telah disita sepanjang jaringan jalan raya kenderaan, manakala 14 trip penyamaran menggunakan bas ekspres dilaksanakan anggota penguatkuasa JPJ Negeri Kelantan sepanjang Ops Khas Sempena HRA 2025.

“Hasil daripada pemantauan dijalankan secara dalam bas, sebanyak 12 notis dikeluarkan kepada pemandu bas yang didapati melakukan kesalahan lalu lintas semasa kenderaan berada di atas jalan raya,” katanya.

Katanya selain itu pemeriksaan dijalankan di terminal bas merekodkan sebanyak 12 notis dikeluarkan ke atas pemilik bas, manakala 10 notis lagi dilaksanakan melalui kaedah pemantauan strategi ‘covert’ dan ‘overt’ dijalankan secara tersembunyi serta terbuka.

IMedikel TV




LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here