Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Perilaku buli yang berlaku di sekolah atau asrama tidak seharusnya dituding jari kepada pelajar atau guru sahaja, sebaliknya ibu bapa dan masalah yang berlaku di rumah juga menjadi penyumbang utama berlakunya perbuatan tersebut.
Perkara itu turut ditegaskan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran media sosial beliau, pagi tadi.
Beliau berkata berhubung kes buli itu, orang ramai tidak boleh menyalahkan pelajar atau guru semata-mata.
“Jangan hanya salahkan pelajar atau guru, ibubapa dan masalah di rumah juga antara faktor utama membiaknya perilaku buli hingga terbawa-bawa ke asrama dan sekolah.
“Pendidikan adalah seharusnya bermula dari rumah kerana keperibadian anak-anak amat tergantung kepada didikan awal mereka sejak dilahirkan malah anak-anak adalah cerminan ibu bapanya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, pagi tadi.
IMedikel TV sebelum ini melaporkan seramai tujuh pelajar terlibat dalam kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang, baru-baru ini ditamatkan pengajian.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 31 saat memaparkan beberapa pelajar didakwa memijak dan duduk di atas seorang pelajar lain di atas katil.
Malah lebih mengejutkan remaja lelaki berkenaan dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung.
IMedikel TV






