BANGKOK: Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan mengakui laluan untuk memburu pingat di Sukan Asia Aichi-Nagoya tahun depan masih panjang dan berliku, meskipun tampil cemerlang meraih pingat emas Sukan SEA Thailand.
Beraksi penuh meyakinkan di Stadium Nasional Suphachalasai, semalam, Jonah bukan saja menghadiahkan emas buat kontinjen negara, malah memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri serta rekod temasya menerusi lontaran sejauh 18.78 meter.
Pingat perak dimenangi atlet tuan rumah, Thongchai Silamool dengan lontaran 16.80m, manakala gangsa menjadi milik atlet Filipina, William Morrison yang mencatat 16.66m.
Kejayaan Jonah itu turut melakar sejarah tersendiri apabila kali terakhir Malaysia meraih emas acara lontar peluru di Sukan SEA adalah pada edisi 1993 di Singapura menerusi Arjan Singh, sekali gus menamatkan penantian lebih tiga dekad.
Rekod kebangsaan sebelum ini milik Jonah adalah 18.66m yang dicatatkan pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) September lalu, manakala rekod lama temasya adalah 18.14m milik Morrison pada edisi 2022.
Namun Jonah berpijak di bumi nyata apabila mengakui pencapaiannya itu masih belum cukup untuk bersaing di Sukan Asia.
“Untuk Sukan Asia, jika ikut catatan, saya memang sudah layak. Tetapi untuk memenangi pingat di Sukan Asia perlukan catatan sekitar 19.50m. Jadi ia bukan mudah.
“Catatan saya sekarang belum sampai ke tahap untuk menang gangsa di Sukan Asia,” katanya.
Mengulas persiapan menjelang Sukan Asia tahun depan, Jonah menegaskan fokus latihan akan dipertingkatkan bagi membolehkannya mencatat lontaran lebih jauh.
“Bagi tahun depan saya perlukan lebih banyak masa berlatih. Saya tidak boleh main-main lagi. Saya hanya perlu kekal fokus untuk persiapan ke Sukan Asia,” katanya.
Semalam, Jonah meluahkan rasa kurang berpuas hati kerana tidak dapat memenuhi impiannya untuk melakukan lontaran sejauh 19m, walaupun memecah rekod kebangsaan dan temasya.
Emas yang dimenanginya semalam adalah pingat pertama di Sukan SEA selepas pulang dengan tangan kosong pada edisi dua tahun lalu di Kemboja. – BH Online –
IMedikel TV






