Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan sebanyak 269 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Kembali Ke Sekolah 2026 di seluruh negara bermula 20 Disember hingga 11 Januari depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata PJRM Kembali Ke Sekolah akan diperluaskan sempena persediaan sesi persekolahan baharu tahun hadapan.
“Sebanyak 174 pasar raya, pusat beli belah dan kedai pakaian terlibat melalui pelaksanaan secara dalam premis dan luar premis.
“Pengguna boleh mendapatkan barangan kelengkapan persekolahan pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan, pada Sabtu.
Armizan berkata, terdapat 45 hingga 80 Stock Keeping Unit (SKU) yang ditawarkan seperti pakaian seragam sekolah, kasut, beg dan kelengkapan alat tulis.
Katanya, orang ramai boleh merujuk Takwim PJRM melalui pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah untuk mengetahui tarikh dan lokasi PJRM Kembali Ke Sekolah dianjurkan.
Dalam perkembangan sama, Armizan berkata Kerajaan MADANI memperuntukkan RM300 juta dalam Belanjawan 2026 bagi pelaksanaan inisiatif Payung RAHMAH termasuk penganjuran PJRM di seluruh negara.
“KPDN juga akan terus perkasa PJRM termasuk menambahbaik aspek peluasan kaedah dan golongan sasar sedia ada,” katanya.
IMedikel TV






