DHAKA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan Bangladesh mengecam keras serangan dron oleh kumpulan militan terhadap sebuah kem PBB di selatan Sudan yang mengorbankan enam anggota pengaman warga Bangladesh, Sabtu lalu.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, ketua penasihat kerajaan sementara Bangladesh, Muhammad Yunus, berkata beliau berdukacita dengan berita bahawa enam anggota pengamannya terbunuh manakala lapan lagi cedera ketika melaksanakan tugas bagi menegakkan keamanan dan kestabilan.
Serangan dron yang menyasarkan pangkalan logistik PBB di bandar Kadugli itu mengakibatkan enam kematian manakala lapan anggota pengaman Bangladesh yang berkhidmat bersama Pasukan Keselamatan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Abyei (UNISFA) cedera, menurut kenyataan Ketua Setiausaha PBB, Antonio Guterres.
Guterres berkata, serangan yang menyasarkan anggota pengaman PBB boleh dianggap sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa dan mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam konflik mengenai kewajipan mereka melindungi kakitangan PBB serta orang awam.
Beliau menegaskan serangan di Kordofan Selatan terhadap anggota pengaman tidak boleh diterima dan akauntabiliti perlu ditegakkan.
Guterres turut menggesa gencatan senjata serta-merta dalam konflik dalaman Sudan.
Pasukan Sokongan Pantas (RSF) juga aktif di Abyei, wilayah kaya minyak yang dipertikaikan antara Sudan dan Sudan Selatan.
Misi pengaman UNISFA dikerah di kawasan itu sejak 2011 dan mandatnya dilanjutkan oleh Majlis Keselamatan PBB bulan lalu sehingga November 2026.
Serangan ke atas anggota pengaman Bangladesh itu mencetuskan kejutan besar di negara berkenaan.
“Bangladesh meratapi pemergian mereka yang berani dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” menurut Kementerian Luar Bangladesh.
Kerajaan Sudan turut menyampaikan ucapan takziah kepada Bangladesh dan menggesa tindakan tegas antarabangsa diambil terhadap RSF.
Menurutnya, kumpulan itu menimbulkan ancaman langsung terhadap operasi PBB dan kemanusiaan. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






