Home Sukan JOJO TEKAD BANGKIT, ANGGAP TEWAS HALANGAN KECIL

JOJO TEKAD BANGKIT, ANGGAP TEWAS HALANGAN KECIL

161
0

KUALA LUMPUR: Sensasi muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar membuktikan betapa beliau memiliki semangat yang jitu dan mentaliti seorang juara meskipun terpaksa akur tumbang di tangan jaguh Colombia, Johan Estupinan, malam tadi.

Bintang muda negara berusia 18 tahun itu, yang mesra disapa Jojo, tewas menerusi keputusan sebulat suara selepas tamat tiga pusingan dalam pertarungan kategori flyweight ONE 170.

Menerusi satu hantaran di laman Instagramnya, Jojo bertekad untuk bangkit sambil menyifatkan kekalahan yang dialaminya di Impact Arena, Bangkok itu sebagai halangan kecil yang perlu diharungi dalam kariernya sebagai atlet tempur.

“Alhamdulillah, (ini) hanya satu halangan kecil dalam perjalanan saya. Saya akan bangkit kembali (dalam perlawanan seterusnya).

“Terima kasih kepada semua atas sokongan yang diberikan,” kongsi Jojo menerusi laman Instagramnya, hari ini.

Terdahulu, Estupinan terus gah dengan rekod tanpa kalah selepas berjaya meraih kemenangan ke atas Jojo namun Johan tidak memberi laluan mudah kepada lawannya itu dalam usaha memburu kemenangan ketujuhnya dalam ONE Championship.

Keputusan itu menyaksikan Estupinan melebarkan rekod tanpa kalahnya dalam ONE Championship kepada 5-0 selepas menang empat pertarungan sebelum ini termasuk tiga kemenangan KO.

Johan pula mengalami kekalahan kedua dalam lapan pertarungan selepas turut tewas di tangan jaguh Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat pada Jun tahun lalu.

Dia bagaimanapun berjaya bangkit tiga bulan selepas itu selepas menumbangkan jaguh Mexico, Josue Cruz menerusi knockout (KO) pada ONE 168 di Colorado, Amerika Syarikat untuk kemenangan keenamnya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here