KUALA LUMPUR: Pelakon Adam Lee berehat daripada aktiviti lakonan selepas cedera pada bahagian leher akibat terjatuh ketika melakukan rutin seni mempertahankan diri, akhir tahun lalu.
Mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta, Adam atau nama sebenar, Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee, 30, berlapang dada berdepan ujian biarpun terpaksa menolak tawaran lakonan hingga kecederaan pulih.
Adam ketika ini dalam proses pemulihan termasuk rawatan susulan dan dinasihatkan doktor untuk berehat sebulan.
“Alhamdulillah, kecederaan saya makin pulih atas izin Allah. Namun, saya ambil langkah berjaga-jaga dan tidak boleh terlalu lasak.
“Sekarang, saya fokus kepada aktiviti asas dan kerja harian keluarga sahaja. Dalam tempoh ini, saya terpaksa tolak dua tawaran lakonan. Namun, saya bersyukur ada perkara lain saya dapat buat untuk penuhkan masa.
“Maksudnya, saya tidaklah goyang kaki sahaja di rumah. Ada aktiviti luar yang saya buat sepanjang tempoh ini,” katanya kepada BH Online.
Bercerita mengenai insiden yang menyebabkan kecederaan kepada leher itu, Adam memberitahu:
“Ketika itu, saya sedang dalam latihan seni bela diri. Saya tersalah langkah atau salah jatuh lalu terkena leher. Namun, saya ambil semua ini secara positif. Semua yang terjadi pasti ada hikmah.
“Malang tidak berbau, walaupun kita berhati-hati dan berjaga-jaga, namun, jika Allah kata sudah tertulis suratan takdir kita, kita akur.
“Apa yang penting, kita perlu reda dan kembali dengan lebih kuat,” katanya.
Adam bersyukur ketika berdepan ujian, isterinya, Sweet Qismina menjadi antara insan yang banyak mendukung dan memberi sokongan.
“Isteri saya sangat matang, tenang dan bijak berdepan situasi ini… Alhamdulillah,” katanya.
Adam berharap selepas apa yang dialami, 2025 membawa sinar baharu buat dirinya.
Terdahulu, Adam menikahi Sweet pada 24 Oktober 2022 selepas enam tahun menjalin cinta. Pernah merakamkan single Izin dan menampilkan isteri video muzik itu. – BH Online –
IMedikel TV






