Home Buletin Semasa JOHOR MAINKAN PERANAN AKTIF PERKUKUH SISTEM KESIHATAN NEGERI

JOHOR MAINKAN PERANAN AKTIF PERKUKUH SISTEM KESIHATAN NEGERI

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengambil pendekatan ‘whole of nation approach’, bukan sekadar menunggu tetapi sebaliknya turut memainkan peranan aktif dalam memperkukuh sistem kesihatan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, sektor kesihatan menuntut kerjasama dan komitmen semua pihak.

Katanya sehingga kini, Johor telah memperuntukkan RM65 juta bagi memperkukuh sistem kesihatan negeri melalui pelbagai usaha.

“Ia termasuk menaik taraf fasiliti kesihatan, membiayai pelaksanaan doktor locum di hospital-hospital utama, melaksanakan projek decanting (memindahkan operasi dari tempat Klinik Kesihatan Unit Ibu dan Anak ke ruang luar alternatif bagi mengurangkan kesesakan), serta pelbagai inisiatif lain menggunakan dana Kerajaan Negeri.

“Sebagai tanda penghargaan kepada petugas kesihatan yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan negeri, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM5.825 juta bagi Bantuan Pantri kepada hospital dan klinik kesihatan untuk menyediakan ruang rehat yang lebih selesa kepada barisan hadapan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyalurkan RM2.8 juta sebagai bantuan khas Hari Raya kepada petugas kesihatan serta RM14.18 juta melalui Bantuan Kasih Johor kepada penjawat awam kesihatan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Tian Soon, usaha tu adalah untuk menghargai pengorbanan petugas kesihatan, menjaga kebajikan mereka serta membantu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada Bangsa Johor.

Katanya Johor terus membawa isu kekurangan petugas kesihatan kepada Kerajaan Persekutuan kerana pelantikan dan penempatan petugas berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Kementerian Kewangan

“Usaha ini telah dilaksanakan bermula sejak 24 Mei 2023 (membawa isu kekurangan kira-kira 2,800 petugas kesihatan kepada KKM).

“Diikuti pada 14 Julai 2025 dengan membawa isu sama ke Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pada 15 Julai 2025 melakukan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memberi komitmen mengisi jawatan kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Kulai dan Hospital Pasir Gudang (HPG),”katanya.

Beliau berkata usaha itu tidak terhenti dengan melatih 100 Southern Volunteers Healthcare bagi membantu petugas hospital pada 21 Julai tahun lalu.

Katanya pada 26 Ogos tahun lalu, Menteri Kesihatan menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi membincangkan isu kesihatan Johor.

“Ia dikuti pada 4 April 2026 iaitu Ketua Setiausaha KKM sekali lagi memberi komitmen untuk memberi perhatian khusus kepada Johor.

“Sebagai EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, saya sendiri telah beberapa kali ke KKM dan JPA serta bertemu pegawai-pegawai berkaitan bagi merayu supaya pengisian jawatan di Johor disegerakan.

“Dalam setiap pertemuan, Johor konsisten membangkitkan isu kekurangan petugas kesihatan dan penjawatan. Dalam setiap pertemuan juga, komitmen diberikan bahawa tindakan akan diambil. Persoalannya, sampai bila komitmen itu akan kekal sebagai komitmen?

“Hospital Pasir Gudang telah siap dibina, namun daripada 2,271 jawatan, 1,192 masih belum diisi. HSA pula masih mempunyai 613 kekosongan jawatan, manakala HSI 285 kekosongan jawatan. Selagi kekosongan ini tidak diisi, petugas kesihatan akan terus bekerja lebih masa dan memikul beban yang berat,”katanya.

Dalam masa sama, Tian Soon kesal apabila ada pihak yang mempersoalkan tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang memohon perjawatan itu diisi segera.

“Adakah salah apabila Menteri Besar Johor membawa suara doktor, jururawat dan petugas kesihatan? Surat rasmi telah dikemukakan, pertemuan telah diadakan dan saluran diplomasi telah digunakan. 

“Apa yang kami perjuangkan hanyalah supaya Bangsa Johor menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan lebih bermaruah. Yang lebih merisaukan, petugas kesihatan kini semakin keletihan akibat beban tugas yang berterusan. Selagi kekurangan tenaga kerja tidak ditangani, risiko ‘burnout’ akan terus meningkat, dan akhirnya Bangsa Johor juga yang akan menanggung kesannya.

“Johor tidak menyalahkan sesiapa. Johor cuma kecewa kerana isu ini telah berlarutan terlalu lama. Janji telah dibuat, komitmen telah diberikan, namun petugas kesihatan masih memikul beban yang sama dan rakyat masih menunggu penyelesaiannya.

“Ini bukan wayang. Ini amanah. Ini tanggungjawab. Selagi tidak selesai, kami akan terus menuntut demi Bangsa Johor,”katanya.

Pada Selasa lalu, Onn Hafiz memaklumkan HPG yang dilengkapi kemudahan moden dan pelbagai kepakaran masih belum dapat beroperasi pada kapasiti penuh berikutan kekangan pengisian tenaga kerja.

Onn Hafiz dilaporkan berkata daripada keseluruhan 2,271 jawatan yang diperuntukkan di HPG, hanya 1,079 jawatan telah diisi manakala 1,192 lagi masih kosong membabitkan pakar perubatan, jururawat serta petugas kesihatan lain.

HPG menawarkan pelbagai kepakaran termasuk Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Anestesiologi, Radiologi, Patologi, Ortopedik, Otorinolaringologi serta Oftalmologi yang mampu memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di Johor dan mengurangkan beban hospital sedia ada.

HPG mula dibina pada tahun 2018, diserahkan secara rasmi kepada KKM pada 29 Jun 2025 dan memulakan operasi secara berfasa pada 1 Ogos 2025.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here