Menurut timbalan perdana menteri merangkap pengerusi (JKMD), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan, tiga matlamat utama tersebut meliputi tindakan menghalang penyeludupan dan pengedaran dadah, meluaskan akses kepada rawatan dan pemulihan serta meningkatkan daya tindak dari bahaya dadah.
Katanya menerusi matlamat pertama, tindakan membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah bagi menghalang kemasukan dadah haram ke dalam negara akan segera digerakkan dengan menghapuskan jalan-jalan tikus dan jeti haram di Perlis, Kelantan dan Kedah.
Selain itu, kawalan lebih ketat perlu dilaksanakan dengan meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pengedar dadah dan pemilikan dadah.
“Pada masa yang sama juga, saya mendapati pengukuhan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM juga perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan bagi memastikan JSJN berupaya membanteras pengedaran dadah dengan lebih sistematik dan komprehensif.
“Dalam aspek bekalan dadah yang mudah diperolehi khususnya secara dalam talian, kerajaan sedang meneliti keperluan mewujudkan peruntukan undang-undang yang boleh mengawal selia semua platform e-Dagang bagi membanteras pembelian dan penghantaran dadah melalui aplikasi dalam talian.” -Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi JKMD

Matlamat kedua pula adalah untuk meluaskan akses kepada rawatan dan pemulihan dengan melihat dua aspek utama iaitu pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Pindaan Jadual Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).
“Saya menyatakan sekiranya akses ini dapat dilebarkan, usaha mengalihkan penyalah guna dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada rawatan dan pemulihan serta merawat pulih penyalah guna bahan seperti ketum dan gam dapat dilaksanakan. Usaha ini secara tidak langsung dapat mengurangkan stigma dan kesan pemenjaraan kepada penyalah guna dadah dan bahan.”-Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi JKMD
Matlamat ketiga pula adalah untuk meningkatkan daya tindak masyarakat dari bahaya dadah dengan menyediakan pelan strategik dan komunikasi yang komprehensif. Pelan ini akan meningkatkan keterlibatan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pencegahan gejala dadah di seluruh negara.
“Saya percaya bahawa penerapan daya tindak segera masyarakat dilihat berupaya memberi pencegahan awal tentang bahaya dadah kepada masyarakat dengan cara mendidik golongan berisiko melindungi diri daripada terjebak dengan gejala dadah.”-Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi JKMD
Secara keseluruhan, di bawah tiga matlamat utama yang dibentangkan membawa kepada tujuh keputusan untuk membawa misi negara ke arah dadah terkawal 2025. – Pejabat TPM –
IMEDIKEL TV






