Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dalam urusan pengeluaran Pas Khas di pejabat imigresen Kuala Lumpur.
Pengarah JIM WPKL, Datuk Hamsha Injau berkata, Bahagian Integriti jabatan itu akan menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan.
Menurutnya, JIM WPKL memandang serius sebarang dakwaan salah laku, penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran prosedur yang melibatkan pegawai serta urusan perkhidmatan imigresen.
“Semakan dan siasatan lanjut akan dilaksanakan melalui saluran yang berkenaan bagi memastikan setiap dakwaan diteliti secara menyeluruh, telus dan berlandaskan peruntukan undang-undang serta peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan portal Malaysiakini pada 17 Oktober (hari ini) berhubung dakwaan penyelewengan dalam urusan pengeluaran Pas Khas di pejabat imigresen Kuala Lumpur.
Hamsha berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau pihak yang didapati terbabit dalam salah laku.
Katanya, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti pelanggaran undang-undang atau peraturan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya berurusan menerusi saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia dan tidak menggunakan khidmat orang tengah yang tidak diberi kuasa.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang berintegriti, telus dan profesional bagi memelihara kepercayaan masyarakat terhadap jabatan itu.
IMedikel TV






