Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Kegiatan mencuri kabel sistem rel bukan lagi boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah biasa apabila perbuatan itu mampu mengancam keselamatan penumpang serta menjejaskan kelancaran operasi pengangkutan awam.
Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka pindaan undang-undang bagi memperberat hukuman terhadap individu yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan pindaan itu sedang dirangka dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk perincian berkaitan hukuman yang bakal dikenakan.
Katanya, antara perkara yang sedang dipertimbangkan adalah penambahan hukuman penjara bagi memberikan pengajaran kepada pelaku.
“Perlu ada hukuman lebih berat untuk memberikan satu mesej kepada pencuri kabel bahawa ia bukan kes kecurian biasa kerana membabitkan keselamatan orang ramai dan memberi kesan besar kepada sistem rel.
“Memang kita bercadang untuk mempertingkatkan hukuman,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bas Elektrik Rapid Penang di Depoh Rapid Penang Weld Quay, di sini, hari ini.
Beliau berkata, isu kecurian kabel kini menjadi ancaman besar kepada semua operator sistem rel di negara ini termasuk Transit Aliran Massa (MRT), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), walaupun ECRL masih belum memulakan operasi.
Menurutnya, sebagai langkah pencegahan sementara, operator rel sudah mengambil beberapa tindakan termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik serta menambah anggota polis bantuan bagi mengawal kawasan larangan.
“Langkah itu penting bagi mengelakkan pencerobohan oleh pencuri kabel dan memastikan kemudahan serta infrastruktur sistem rel dilindungi daripada kegiatan jenayah,” katanya.
Dalam kejadian terbaru pagi semalam, perkhidmatan MRT Laluan Kajang mengalami kelewatan susulan cubaan mencuri kabel dan pencerobohan di landasan.
Rapid KL memaklumkan gangguan itu membabitkan perjalanan antara Stesen Phileo Damansara dengan Stesen Pusat Bandar Damansara.
Sementara itu, Loke berkata, pengoperasian bas elektrik pertama bagi perkhidmatan bas henti-henti Rapid Penang yang bermula hari ini menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam yang lebih mampan dan mesra alam.
Bagi fasa pertama, sebanyak 40 bas elektrik diperuntukkan kepada Rapid Penang dengan penghantaran dilakukan secara berperingkat bermula Jun lalu sehingga 31 Disember ini.
Rapid Bus akan memperkenalkan dua jenis bas elektrik kepada Rapid Penang iaitu masing-masing sepanjang 12 meter dan 8.25 meter bagi memenuhi keperluan perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini.
IMedikel TV






