KUALA LUMPUR: Kecaman yang diterima selepas kekalahan lalu tidak mematahkan semangat jaguh muay thai negara, Johan Ghazali Zulfikar sebaliknya menjadi sebahagian daripada perjalanan untuk bangkit membuktikan kemampuan dirinya.
Memetik laporan AMIRUL FAZLI ZULKAFLI memalui Berita Harian, Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo membuktikan kebangkitannya apabila menewaskan Diego Paez menerusi keputusan sebulat suara dalam pertarungan kategori flyweight muay thai pada acara The Inner Circle 35 di Stadium Lumpinee, Bangkok, semalam.
Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, petarung berusia 20 tahun itu mengakui berdepan pelbagai kecaman selepas pertemuan pertama menentang Paez, malah lebih menyakitkan apabila kritikan itu datang daripada orang sendiri.
“Jika Tuhan tidak memberikan apa yang kamu inginkan, Dia memberikan sesuatu yang lebih baik. Selepas pertarungan pertama saya menentang Diego, saya menerima begitu banyak kecaman.
“Ada yang begitu cepat menjatuhkan saya ketika saya sudah pun berada di bawah, malah menyakiti saya ketika saya sedang terluka. Bahagian paling menyedihkan, kebanyakannya datang daripada orang sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, Jojo menegaskan dirinya tetap mempunyai pihak yang sentiasa mempercayai kemampuan dan tidak pernah meraguinya walaupun ketika berdepan saat sukar.
“Namun, sepanjang semua itu, ada seseorang yang sentiasa mempercayai saya dan tidak pernah meragui saya walau sesaat. Kamu tahu siapa? Tuhan,” katanya.
Untuk rekod, Jojo dan Paez pernah bertemu pada Jun tahun lalu dengan kemenangan memihak kepada Paez.
Kemenangan itu turut memberi suntikan moral kepada Jojo selepas tewas dalam dua pertarungan berturut-turut kepada petarung Lebanon, Ramadan Ondash dan wakil Jepun, Shimon Yoshinari.
Sejak membuat penampilan pertama di ONE Championship pada 2023, Jojo mencatatkan sembilan kemenangan dan lima kekalahan setakat ini. – BH Online –
IMedikelTV






