Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sebuah rumah dan membaik pulih dua rumah yang terjejas akibat kebakaran di Taman Impian, di sini.
Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, di sini bertindak sebagai pelaksana projek pembinaan dan baik pulih rumah dengan kos keseluruhan sebanyak RM200,000 yang mengambil masa empat minggu untuk disiapkan.
Majlis penyerahan kediaman berkenaan disempurnakan oleh Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Azman Rabani.
Hadir sama Setiausaha Sulit Khas Sultan Pahang, Ahmad Norbadelin Abdul Murad
Bantuan berkenaan sebagai tanda keprihatinan Sultan Pahang terhadap nasib rakyat yang ditimpa musibah selepas rumah tempat mereka sekeluarga berteduh musnah.
Bantuan berkenaan membabitkan satu rumah bina baharu milik Ngoh Tee Sang yang musnah dalam kejadian kebakaran pada Februari lalu. Dua rumah baik puluh milik T Punitavalli dan Muhammad Shahrul Azri Awang.
Dalam kejadian pada 21 Februari lalu, tiga rumah yang didiami keluarga terbabit mengalami kerosakan akibat kebakaran dengan sebuah rumah dilaporkan musnah sepenuhnya manakala dua lagi mengalami kerosakan pada sebahagian struktur binaan.
Kurniaan rumah tersebut mencerminkan keprihatinan Sultan Pahang dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang berhadapan dengan kesukaran akibat bencana.
Pembinaan dan penyerahan rumah berkenaan juga memperlihatkan kerjasama antara Majlis Kesultanan Pahang dengan TLDM dalam melaksanakan inisiatif kebajikan demi membantu meringankan beban keluarga yang ditimpa musibah.
Bagi Tee Sang, dia hanya mampu mengucapkan terima kasih pada Sultan Pahang yang bermurah hati membantu menyediakan rumah baharu yang selesa untuk dia sekeluarga berteduh.
“Tanpa bantuan berkenaan saya tidak mampu membina rumah baharu, saya tidak terfikir sebelum ini Sultan Pahang sanggup membantu menyediakan sebuah rumah baharu selepas rumah lama musnah terbakar.
“Sultan Pahang seorang raja berhati mulia yang sentiasa berusaha membela nasib rakyat yang dalam kesusahan,” katanya.
IMedikel TV






