Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki berusia 34 tahun meninggal dunia selepas 21 hari menerima rawatan susulan kemalangan motosikal yang melanggar seekor lembu di Jalan Kampung Limau Kasturi, di sini, pada 26 September lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 petang, 17 Oktober lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kematian mangsa daripada orang awam kira-kira jam 4.45 petang pada hari sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam ketika mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave dari rumahnya di Kampung Limau Kasturi menuju ke sebuah kedai runcit di kampung berkenaan.
“Setibanya di lokasi kejadian, seekor lembu dipercayai melintas secara tiba-tiba dari bahu kiri jalan ke jalan utama.
“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum melanggar haiwan berkenaan dan terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, mangsa pada awalnya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra bagi rawatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang bagi membantu siasatan.
IMedikel TV






