Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan cedera parah selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki ketika menjalankan operasi membanteras dadah di Kampung Lalang Pepuyu, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.35 tengah hari itu, anggota berkenaan mengalami kecederaan parah termasuk retak pada tangan kiri ketika cuba menahan suspek berusia lingkungan 30 tahun.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan polis dari JSJN IPK Kelantan dengan bantuan anggota Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu menyerbu sebuah rumah di kampung berkenaan menerusi Ops Tapis Bersepadu Sempadan.
“Suspek yang berada di rumah itu melarikan diri sebaik serbuan dilakukan sebelum dikejar anggota polis.
“Bagaimanapun, suspek yang bersenjatakan sebilah parang bertindak agresif ketika cuba ditahan dengan melibas senjata itu ke arah anggota polis sehingga menyebabkan seorang daripada mereka cedera sebelum suspek berjaya diberkas.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada rampasan sebilah parang berukuran kira-kira 35 sentimeter, pil yaba dengan anggaran berat 0.1 gram dan sebotol cecair disyaki air ketum,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata ujian saringan awal air kencing suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala semakan rekod lampau mendapati lelaki itu mempunyai enam rekod kesalahan berkaitan dadah.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.
Jelasnya Ops Tapis Bersepadu Sempadan dilaksanakan oleh JSJN Kelantan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dari empat daerah, iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli, bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah di sempadan Kelantan-Thailand.
Beliau menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan mengugut, menyerang atau menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.
Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau dadah kepada pihak polis bagi membantu memelihara keselamatan dan ketenteraman awam di Kelantan.
IMedikel TV






