Home Buletin Semasa 24,283 PEGAWAI, ANGGOTA, SUKARELA DIARAH SIAP SEDIA BANJIR MTL

24,283 PEGAWAI, ANGGOTA, SUKARELA DIARAH SIAP SEDIA BANJIR MTL

Oleh: Afrizam Arif, Wartawan IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengarahkan 24,283 pegawai, anggota dan sukarela bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir sepanjang musim Monsun Timut Laut (MTL) tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata pembekuan cuti itu juga melibatkan 80 peratus daripada 13,475 pegawai dan anggotanya.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin (empat dari kanan)
“Daripada jumlah 80 peratus tersebut, hanya 20 peratus sahaja anggota dan pegawai dibenarkan untuk cuti, namun tertakluk kepada situasi bencana yang diletakkan secara berperingkat.

“Cuti beku ini akan bermula sebaik sahaja sekretariat banjir mengisytiharkan operasi penyelamatan banjir di daerah atau negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Lawatan Kerja Rasmi di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata sebanyak 337 balai Bomba dan Penyelamat Malaysia di seluruh negara serta 358 balai bomba sukarela sudah bersiap sedia untuk tugasan sepanjang monsun.

Ujarnya, JBPM turut mewujudkan pangkalan hadapan untuk negeri di Pantai Timur bagi menempatkan aset lebih awal di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu dan bersedia digerakkan pada bila-bila masa yang diperlukan.

Dalam perkembangan lain, pihaknya turut mewujudkan sebanyak 13 Pasukan Gerak Cepat yang mempunyai keanggotaan terdiri daripada 15 pegawai dan anggota pelbagai kepakaran termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan kemahiran pengendalian bot serta anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

“Pasukan Gerak Cepat ini ada di setiap negeri di semenanjung yang bersedia lebih awal untuk membantu mana-mana daerah ataupun pusat terbabit dengan banjir bagi operasi pemindahan mangsa banjir serta penyelamatan ketika MTL,” katanya.

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here