Home Buletin Semasa JKM LULUS BANTUAN BUAT KELUARGA NUR NASUHA

JKM LULUS BANTUAN BUAT KELUARGA NUR NASUHA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Rezeki buat keluarga Nur Nasuha Nusi, 12, ibarat “hendak ulam, pucuk menjulai.” Itu perumpamaan yang boleh dikaitkan dengan apa yang mereka dapat buat masa ini.

Berita berkenaan Nur Nasuha yang dihimpit kemiskinan sehingga tidak dapat menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan Maktab Rendah Sains MARA (UKKM) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai, mendapat perhatian ramai pihak, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meluluskan serta-merta bantuan bulanan sebanyak RM950 sehingga mereka mampu berdikari.

Bantuan bulanan itu diberikan hasil rujukan yang dilakukan oleh pihak Pegawai Khas Exco Kebajikan Pembangunan Keluarga dan Wanita.

Ia akan disalurkan di bawah Bantuan Kanak-kanak (BKK) iaitu RM700, selain Bantuan Am (BA) dengan kadar RM250 sebulan bermula bulan depan hingga Oktober tahun depan.

Nur Nasuha sekeluarga turut memperoleh sumbangan Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM300 ketika menerima kunjungan daripada pegawai JKM yang diwakili Pembantu Kebajikan Masyarakat, Irfan Hafiz Halim.

Sementara itu, hasil siasatan JKM mendapati masalah kewangan yang menimpa keluarga Nur Nasuha adalah disebabkan ketidakupayaan bapanya, Mohd Nusi Mamat, 38 untuk bekerja kerana mengalami penyakit gastrik kronik sejak dua tahun lepas.

Selain Nur Nasuha dan bapanya, rumah daif yang disewa dengan kadar RM150 sebulan itu turut didiami ibunya, Nurul Izzati Nor,31, yang sarat mengandung tujuh bulan dan tiga lagi anak, Nurul Natasha Balqistina, 13, Muhammad Danial Izzan, 6, dan Muhammad Danish,3.

Sebelum ini, ramai pihak tidak sedar dan maklum berhubung kisah sedih keluarga miskin itu yang mana mereka terpaksa mencuci pakaian dan mandi menggunakan air telaga namun kini telah terbongkar dan tular selepas Nur Nasuha gagal ke ujian memasuki MRSM bagi kelayakan ke Tingkatan Satu kerana ketiadaan wang dan pengangkutan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here