Home Hiburan JIWA PERNAH RAPUH

JIWA PERNAH RAPUH

462
0

Nama penyanyi lagu Elegi Sepi, Azharina Azhar bukan nama yang asing dalam dunia seni suara tanah air.

Dikenali dengan vokal lantang dan persembahan penuh emosi, ramai tidak menyangka di sebalik kekuatan yang ditampilkan, penyanyi ini pernah melalui fasa kerapuhan jiwa yang mencabar dirinya.

Memetik laporan Harian Metro, Azharina membuka sisi peribadi yang jarang dikongsi mengenai perjuangannya melawan kesakitan emosi dan bagaimana dia bangkit semula dengan bantuan rawatan pemulihan holistik bersama figura yang kini dikenali sebagai Dr Hisham Dzakiria atau Dr Healing.

“Saya pernah berada di titik paling kosong dalam hidup. Kehilangan orang tersayang, kecewa dalam hubungan dan tekanan sebagai wanita berdikari dalam industri seni benar-benar buat saya hilang arah,” katanya.

Menurut Azharina, selama bertahun-tahun dia menyembunyikan luka batin itu dengan menyibukkan diri dengan kerjaya.

Sebagai ‘gila kerja’ (workaholic), dia menjadikan kerja sebagai ruang untuk melarikan diri daripada rasa perit yang memakan jiwa dari dalam.

Namun, apabila keletihan emosi itu memuncak, dia sedar bahawa sesuatu perlu diubah.

“Saya mula menulis jurnal, banyak berdoa dan akhirnya hati saya terbuka untuk mencuba rawatan ‘healing’.

“Ia bukan rawatan biasa, tapi satu proses pemulihan diri yang menyeluruh merangkumi emosi, spiritual, mental dan fizikal,” katanya.

Rawatan bersama Dr Hisham bukan semata-mata sesi bercakap atau kaunseling, sebaliknya membabitkan pendekatan holistik yang menghubungkan tubuh dan jiwa.

Prosesnya merangkumi penilaian tenaga dalaman, relaksasi, pernafasan sedar, terapi energi, teknik ‘grounding’ dan pelepasan trauma.

“Kadang saya menangis ketika sesi tu. Tapi, itu tanda trauma lama mula dilepaskan. Dan bila sesi tamat, saya rasa ringan, tenang dan lapang dada,” katanya.

Bagi Azharina, ‘healing’ bukan proses yang berlaku sekelip mata. Ia bukan ubat yang memberi kelegaan segera, tetapi satu bentuk penjagaan diri yang berterusan sama seperti kita menjaga kesihatan fizikal.

“Sekarang bila saya rasa penat secara emosi, saya tahu apa yang perlu saya buat. Saya buat sesi susulan untuk kekal seimbang.

“Sebagai ibu, wanita dan insan biasa, kita semua perlu ruang untuk pulih dan bernafas,” katanya.

Pengakuan Azharina ini bukan sekadar kisah pemulihan, tetapi juga seruan kepada orang ramai supaya lebih peka terhadap kesihatan emosi. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here