Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Jabatan Imigresen Kelantan (JIM) menangkap 262 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam operasi bersepadu bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di lima jeti pelabuhan bot laut sekitar Tok Bali, di sini, hari ini.
Pengarahnya, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata daripada jumlah tersebut, seramai 37 PATI ditahan termasuk dua wanita.
“Penahanan membabitkan 13 lelaki dan dua wanita warganergara Myanmar, 11 lelaki Vietnam, tujuh lelaki Thailand serta masing-masing dua lelaki Kemboja dan Laos.
“Setelah membuat saringan air kencing, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati enam warganegara Vietnam dan dua Thailand telah ditahan kerana penyalahgunaan dadah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kesemua PATI berusia lingkungan 21 hingga 52 tahun itu ditangkap menerusi Operasi Bersepadu bermula jam 9.30 pagi tadi.
Beliau berkata, pihaknya melakukan operasi tersebut secara serentak di lima pelabuhan bot laut.
“Agensi Maritim turut menggerakkan lima bot untuk membuat kepungan sekitar sungai di jeti berkenaan bagi mengelak PATI melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai.
“Seramai 60 pegawai JIM, 51 pegawai (Maritim Malaysia) dan 15 pegawai (AADK) yang terlibat dalam operasi itu,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jelasnya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke pejabat JIM Kota Bharu.
IMedikel TV






