Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
JERTIH: Jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sufea Adela Maslihaizan, 21, yang maut dalam kemalangan tragis membabitkan bas sewa khas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) selamat dikebumikan pada pagi hari ini di Jertih.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Penaga, Jertih, pada pukul 4.30 pagi, hari ini.
Ahli keluarga, penduduk dan rakan-rakan hadir memberi penghormatan terakhir.
Terdahulu Sufea Adela yang tinggal di Kampung Air Terjun, Jertih, Besut adalah antara 13 mangsa yang terkorban dalam nahas kemalangan bas berkenaan selamat disembahyangkan di Masjid Hadhari, Jertih.
Media melaporkan seramai 15 pelajar UPSI terkorban dalam kemalangan di KM53 Jalan Raya Timur-Barat awal pagi kelmarin.
Bas berkenaan dalam perjalanan dari Jertih ke kampus utama universiti di Tanjung Malim.
Terdahulu UPSI memaklumkan mereka ialah Sufea Adela Maslihaizan, 21, Mohammad Aqil Taqiudin, 21, Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22.
Turut meninggal dunia Fakhrul Arif Rosdi, 20, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Nor Ayuni Maslan, 21, Nurly Sahirah Azman, 23, dan Fatin Nasrien Fadli, 22.
IMedikel TV






