RIYADH: Arab Saudi menegaskan jemaah umrah yang melanggar peraturan visa dan gagal meninggalkan negara itu sebelum 29 April akan dikenakan hukuman penjara, denda yang tinggi serta dihantar pulang ke negara asal.
Gulf News melaporkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan 29 April sebagai tarikh akhir keberangkatan keluar bagi semua jemaah umrah yang masih berada di negara berkenaan.
Tindakan gagal keluar selepas tarikh itu dianggap sebagai kesalahan undang-undang dan akan dikenakan hukuman tegas termasuk denda tinggi, penjara dan pengusiran.
Langkah tegas itu diambil sebagai sebahagian daripada persiapan lebih besar bagi menghadapi musim haji tahun ini, susulan kebimbangan berhubung cubaan segelintir pelawat untuk terus berada di negara itu melebihi tempoh visa ibadah umrah.
“Keselamatan adalah keutamaan. Sistem yang dilaksanakan bertujuan melindungi keselamatan dan maruah tetamu Allah serta memastikan kelancaran pelan pengurusan jemaah yang dilaksana bersama agensi keselamatan, tentera dan perkhidmatan,” kata Pengarah Keselamatan Awam Arab Saudi, Leftenan Jeneral Mohammed Abdullah Al Bassami.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa keselamatan jemaah adalah amanah suci yang perlu dipikul dan sebarang cubaan mengganggu keselamatan kawasan suci atau sistem ibadah akan ditangani tanpa kompromi.
Pihak berkuasa Arab Saudi beberapa kali sudah menegaskan kepentingan jemaah mematuhi peraturan berkaitan visa ibadah.
Pelanggaran seperti tinggal lebih masa bukan sahaja membebankan usaha logistik dan keselamatan, malah menjejaskan sistem infrastruktur canggih negara itu yang bergantung kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menguruskan pergerakan jutaan jemaah di tanah suci.
Sistem pengurusan orang ramai berasaskan AI memantau kepadatan jemaah dan mengatur aliran masuk dari pintu masuk Makkah ke Masjidilharam secara masa nyata, bagi mengelakkan kesesakan serta menjamin keselamatan.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa pelanggaran seperti melebihi kuota negara atau tinggal melebihi tempoh visa boleh menjejaskan keseluruhan ekosistem pengurusan jemaah. -Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






