KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian meskipun menjadi pasukan paling sibuk pada musim ini selepas berentap dalam enam pertandingan termasuk aksi pembuka tirai, ia bukanlah satu alasan buat Johor Darul Ta’zim (JDT) memberi persembahan ‘ala kadar’.
Pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz menegaskan mereka perlu sentiasa mengekalkan ‘standard’ JDT dalam setiap perlawanan di sebalik berdepan cabaran mengharungi jadual yang padat pada setiap minggu.
Jelasnya, setiap pemain mengharungi perlawanan yang akan ditempuh dengan tenaga dan juga semangat yang tinggi bagi memastikan kemenangan dapat dicipta.
“Sudah tentu ada turun naik kerana pemain pun manusia, apatah lagi perlu beraksi selepas tiga hari, tiga hari dan tiga hari selain ada kalanya perlu berkunjung ke tempat lawan.
“Satu cabaran sukar untuk mereka tetapi ini adalah JDT dan kita perlu terus bekerja keras. Kita perlu terus menunjukkan tenaga dan semangat yang sama serta kawalan terhadap butiran-butiran kecil.
“Kita perlu bergerak ke hadapan, kita ada Januari yang sukar dan juga cabaran lebih besar menanti pada Februari. Jadi amat penting untuk kita meneruskan momentum supaya kita dapat tiba ke detik itu dengan tenaga maksimum,” kata Munoz.
Sebagai rekod, selepas memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan Piala FA, JDT masih bertanding dalam empat lagi pertandingan pada musim ini.
Dua aksi domestik ketika ini menyaksikan JDT kini selesa di persada Liga Super selepas 13 perlawanan selain bakal memulakan misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia, bulan ini.
Mereka juga berentap dalam dua saingan benua iaitu Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), berada di kedudukan keenam Zon Timur selain menghuni tangga kedua Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).
Aksi cemerlang JDT di pentas ACLE amat diperlukan bagi memastikan mereka konsisten memberi mata kepada ranking Kelab Asia (MA) dan mengekalkan satu slot automatik ke ACLE serta satu slot automatik ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2). – BH Online –
IMedikel TV






